RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar beri mandat Sarawak tadbir 100% alam sekitar negeri

KUCHING-- Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa lepas akan memperluas kuasa negeri dalam menguruskan alam sekitar dan sumber asli yang luas secara mampan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak kini mempunyai mandat untuk menguruskan alam sekitar dan telah meluluskan undang-undang yang bermaksud 100 peratus alam sekitar berada di bawah bidang kuasa negeri.

“Sebaik sahaja tugas dan tanggungjawab diberikan, ia menjadi tanggungjawab kami untuk melaksanakan semua agenda pembangunan dalam kerangka standard alam sekitar,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, perkembangan terkini dalam teknologi menyaksikan penggunaan mikroelektrolisis untuk menghasilkan hidrogen daripada air yang diintegrasikan ke dalam enjin automotif yang pada akhirnya boleh menjadikan hidrogen lebih mudah diakses dan mampu milik.

Jelasnya, jika teknologi mikroelektrolisis berjaya, orang ramai tidak lagi perlu bergantung kepada petrol untuk bahan api kenderaan mereka.

"Mereka tidak perlu lagi ke stesen minyak untuk membeli petrol, sebaliknya menggunakan air sebagai sumber hidrogen. 

"Ini akan mengubah keseluruhan industri kenderaan dan pengangkutan awam,” katanya.

Tambahnya, Sarawak mempunyai cita-cita untuk berjaya dalam pengeluaran hidrogen yang berkait rapat dengan usaha SFC dalam memacu kelestarian dan pengurusan alam sekitar melalui pemeliharaan hutan negeri.

Jelasnya, peranan SFC menjadi lebih penting kerana hutan yang mereka lindungi selama ini boleh mengurangkan kesan pertumbuhan industri, membantu negeri mencapai matlamat untuk menjadi hijau dan maju.

“Penyelidikan sedang dijalankan untuk mengurangkan kos pengeluaran hidrogen, dan saya fikir dalam tempoh lima hingga 10 tahun, hidrogen akan menjadi bahan api utama. Sebab itu kita perlu mempersiapkan diri lebih awal," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mewujudkan bandar lestari dalam usaha menjaga ekosistem di negeri ini.

Tegasnya, meletakkan pengurusan alam sekitar mampan dalam perspektif pembangunan sangat penting sebagai 'green lung' menjayakan misi mewujudkan bandar lestari.

Mengenai SFC, katanya ia membangunkan Taman Negara sehingga 1 juta hektar.

"Selain itu, kita ada Sarawak Delta yang kita nak bangunkan dan kita juga nak bangunkan bandar kita yang lestari, bermaksud hutan simpan di bandar harus diuruskan dengan sebaiknya,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut mengumumkan bangunan baharu SFC dengan nama ‘Wisma Lestari’, sempena dengan misi Kerajaan Sarawak untuk membangunkan bandar lestari.

Beliau turut menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara SFC, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Pusat Bidioversity Sarawak (SBC).
Next Post Previous Post