Dua maut kemalangan motosikal, SUV di Jalan Astana
KUCHING— “Aril dan Aqil anak yang kuat, kali terakhir abah jaga kamu berdua semalam, hari sebelumnya abah sambut hari jadi Aqil dan ulang tahun perkahwinan. Allah sayangkan abah kamu berdua. Bulan baik abah kamu berdua pergi selamanya,” luah Ema Zymah, kakak kepada mangsa kemalangan maut di Jalan Astana yang berlaku malam tadi.
Dalam kemalangan itu, seorang penunggang dan seorang pembonceng yang maut dikenali sebagai Mohammad Sulaiman Selet dan Abdul Rashid Zainal, selepas motosikal ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan SUV di Jalan Astana sekitar jam 11 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah yang mengesahkan kes itu berkata, hasil siasatan awal , kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang sedang bergerak lurus di jalan tersebut melanggar sebuah kenderaan SUV yang sedang membelok ke Persimpangan Lorong 5, Jalan Astana.
“Akibat pelanggaran itu, pembonceng motosikal lelaki berusia 31 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala manakala seorang lagi penunggang motosikal lelaki berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di unit kecemasan Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, sementara pemandu SUV yang tidak mengalami kecederaan ditahan untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada dua puluh ribu ringgit dan tidak lebih daripada lima puluh ribu ringgit.
“Pihak polis menyeru agar mana–mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik ASP Lucas Apin di talian 013-8246881 / 082-259900 atau mana–mana balai polis yang berhampiran,” tegasnya.
Pada masa sama beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan yang berhemah serta sentiasa mematuhi peraturan- peraturan jalan raya yang ditetapkan untuk mengelak bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.