Kes tetak di Matang: Mangsa stabil, lima suspek ditangkap

KUCHING-- Lima suspek yang terlibat dalam kes mendatangkan cedera parah ke atas seorang lelaki serta merusuh di sebuah premis makan di kawasan Matang awal pagi Isnin berjaya diberkas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, kelima-lima suspek yang terlibat ditangkap pada hari yang sama menerusi satu operasi yang telah digerakkan meliputi elemen Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan IPD Daerah.

"Tangkapan telah berjaya dilakukan ke atas lima orang suspek yang disyaki ada penglibatan di dalam kes ini. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326
Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebat.

"Kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 148 kanun yang sama atas kesalahan merusuh dengan senjata yang mana membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek akan direman di Mahkamah Kuching pada esok hari ( 22 Ogos 2023) untuk siasatan lanjut

Mengulas kes itu, Lim berkata pada 21 ogos 2023 jam 1.16 petang polis menerima satu laporan berhubung dengan satu insiden di mana seorang mangsa lelaki tempatan berusia 30-an, telah dicederakan dengan menggunakan objek tajam berupa parang dan kayu hoki di sebuah premis yang terletak di kawasan Matang.

"Kejadian sebenar berlaku pada tarikh yang sama jam lebih kurang 1.00 pagi yang mana pada ketika itu mangsa bersama dengan teman wanitanya sedang makan malam dan telah didatangi oleh lima suspek.

"Salah seorang suspek menuduh mangsa 
mempunyai hutang dengannya tetapi dinafikan oleh mangsa. 

"Tidak puas hati dengan penafian oleh mangsa tersebut, mangsa telah dibawa keluar daripada premis oleh suspek dan kemudiannya telah dipukul menggunakan objek berupa kayu hoki sebelum dilibas dengan parang," jelasnya.

Tambahnya, mangsa cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya dan menyebabkan kecederaan luka di bahagian badan dan kaki. 

"Menyedari mangsa cedera, kelima-lima suspek telah melarikan diri dan mangsa telah dirujuk ke hospital umum untuk rawatan lanjut. 

"Mangsa dalam keadaan stabil namun memerlukan pemerhatian rapi kerana
kecederaan dialami," ujarnya.

Sehubungan itu, Lim meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi negatif dalam kes ini. 

Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak sekali-kali menyebarkan video yang ada kaitan dengan kes ini kerana boleh menjejaskan siasatan pihak polis. 

"Sesiapa yang didapati menularkan video tanpa kebenaran, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," tegasnya.
Next Post Previous Post