Bomoh ular maut dipatuk tedung
JAWA BARAT— Seorang bomoh ular, Rosandi Maulana maut selepas dipatuk ular tedung ketika sedang menghiburkan penonton sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-78 di Desa Cisarua, Jawa Barat, Jumaat lalu.
Detik melaporkan, semasa kejadian, mangsa berusia 63 tahun beraksi bersama seekor ular tedung sepanjang 3.5 meter dan berat lapan kilogram (kg) di hadapan sejumlah penonton tanpa menggunakan baju.
Mangsa yang juga dikenali sebagai Bah Kobra dikatakan terbaring dan mengalami kesukaran bernafas.
Bah Kobra dihantar ke sebuah hospital namun kemudian disahkan meninggal dunia.
Andrian Saputra iaitu ketua sebuah pertubuhan persaudaraan, Paguyuban Seni Cisarua menyatakan bomoh itu dipatuk ular di bahagian lengan kirinya ketika melakukan pertunjukan.
Menurut laporan itu, ular tedung tersebut baru ditangkap di Kampung Marasa, Desa Cisalak, Kecamatan Cisarua dan tidak diketahui mengapa ular tersebut tiba-tiba agresif sehingga menyerang mangsa.