Prototaip ART Hidrogen diuji mulai 4 Sept

Lee Kim Shin meninjau prototaip Hidrogen ART, kelihatan sama Pengarah Projek Sarawak Metro Zafrin Zakariah (kanan) . Gambar ihsan Sarawak Metro

KUCHING— Prototaip Transit Aliran Autonomi (ART), Kenderaan Hidrogen (H2V) kini sudah siap dipasang dan akan menjalani ujian bermula 4 September hingga 31 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ujian itu melibatkan laluan Jalan Keruing, Menara LCDA, Menara SEDC, Menara Sarawak Energy dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

“Sebagai simbolik pelancaran ujian tersebut, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menaiki ART di laluan Isthmus pada September.

“Bagaimanapun sepanjang tempoh tersebut prototaip ART tidak akan dibuka kepada orang awam.

“Hanya pihak berkepentingan terpilih daripada organisasi sektor awam dan swasta yang berkaitan akan dijemput untuk menaiki prototaip ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee menambah, ini kerana adalah kerana ini masih merupakan kenderaan prototaip dan tujuan utamanya adalah untuk menguji prestasinya di Sarawak.

Beliau menambah, malam ini prototaip ART akan dipindahkan ke Terminal Lembaga Pelabuhan Kuching, Pending di mana ia akan distabilkan (diparkir) sehingga tamat tempoh Ujian Kejuruteraan pada bulan Oktober.

"Pengisian minyak hidrogen bagi prototaip ART ini akan dilakukan di Terminal Pending melalui Stesen Pengisi Minyak Hidrogen Mudah Alih yang akan berpangkalan di sana," ujarnya.

Kata Lee, prototaip ART H2V akan dipindahkan ke Kota Samarahan untuk POC selama sebulan di sepanjang Expressway Kuching-Samarahan pada bulan November.  

"POC akan bermula di lorong khusus kekal sepanjang 3 kilometer yang dibina antara dua bulatan (bulatan berhampiran Pusat Jantung ke bulatan berhampiran SAINS).  

"Latihan POC ini dijalankan untuk mengumpul data bagi menilai kebolehlaksanaan prototaip untuk reka bentuk akhir ART untuk menampung kapasiti maksimum penumpang," jelasnya.

Katanya, tujuan Ujian Kejuruteraan adalah untuk mengenal pasti sebarang isu yang berpotensi sebelum bermulanya Bukti Latihan Konsep (POC) di Samarahan.
 
Dalam pada itu katanya, beberapa jalan tertentu akan ditutup bermula 23 Ogos bagi membolehkan ujian kejuruteraan ini dilaksanakan

"Notis dan papan tanda yang mencukupi akan diletakkan sebelum penutupan jalan.  

"Penutupan jalan raya akan diiklankan di platform media sosial Sarawak Metro dan di akhbar tempatan mulai esok, 22 Ogos,” katanya.

Menurutnya lagi inisiatif ini bertujuan untuk memaklumkan penduduk dan pekerja yang bekerja di sekitar kawasan laluan yang terlibat menyesuaikan diri tentang rutin perjalanan harian mereka semasa tempoh dua bulan itu.

Katanya, Kementerian Pengangkutan Sarawak turut menganjurkan taklimat khas pada 17 Ogos 2023 bersama Metro Sarawak bersama pemain industri dan agensi kerajaan yang mempunyai pejabat mereka di Isthmus, serta pihak penguatkuasaan yang berkaitan.  

"Ini bagi memastikan semua pihak berkepentingan kami bahawa pengurusan trafik yang betul akan dilaksanakan bagi memastikan pergerakan trafik lancar,” katanya.
 
Prototaip ART H2V yang dibangunkan CRRC Zhuzhou Institute Co. Ltd tiba dari di Terminal Senari dari Pelabuhan Shanghai pada 5 Ogos lalu.
Next Post Previous Post