Tiada penggubal undang-undang di Sarawak jadi pengkhianat mansuh OMO 1958, masih sah dan kekal berkuat kuasa

Gambar UKAS

KUCHING-- Tiada penggubal undang-undang di Sarawak menyerahkan kedaulatan negeri ini termasuk Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki.

Beliau menegaskan OMO 1958 masih lagi kekal dan berkuatkuasa di Sarawak serta tidak pernah dimansuhkan.

“Ordinan ini kekal sah dan berkuat kuasa serta tidak dimansuhkan.

“Sesiapa yang beroperasi di Sarawak mesti mematuhi semua undang-undang negeri yang berkaitan seperti Ordinan Perlombongan Minyak dan Ordinan Pengedaran Gas, 2016 (Bab 72).

"Jadi tiada penggubal undang-undang di Sarawak telah menyerahkan hak kedaulatan sedemikian.

"Jika anda menyerahkan hak itu, anda adalah seorang pengkhianat tetapi setakat diketahui Dewan Yang Mulia ini, tiada sesiapa yang menyerahkan hak tersebut," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Ibrahim berkata, Perintah (Pengubahan Sempadan) Sarawak 1954 telah dikeluarkan oleh Ratu Elizabeth II pada waktu itu, berdasarkan Akta Sempadan Kolonial 1895.

Jelas beliau dengan adanya perintah tersebut, sempadan Sarawak diperluaskan untuk merangkumi kawasan pelantar benua, termasuk dasar laut dan subpermukaan yang terletak di bawah laut terbuka berdekatan dengan perairan wilayah Sarawak.

Katanya, meskipun sempadan atau had pelantar benua tidak dinyatakan dengan jelas dalam perintah tersebut, namun definisinya dinyatakan sebagai dasar laut dan subpermukaan yang terletak di bawah laut terbuka berdekatan dengan perairan wilayah Sarawak.

Menurutnya lagi, Kerajaan Sarawak pada tahun 1952 telah mengeluarkan pajakan perlombongan kepada Sarawak Oilfields Limited (SOL), anak syarikat milik penuh Royal Dutch Shell.

“Selepas Perintah pada tahun 1954 melalui satu Surat Ikatan bertarikh 13 Mei 1956, kawasan perlombongan di bawah pajakan ini diluaskan untuk meliputi kawasan pelantar benua, memberikan hak kepada SOL untuk mengeksploitasi dan melombong petroleum dalam kawasan pelantar benua.

“Sejak 1956, Sarawak telah melaksanakan hak eksploitasi dan perlombongan petroleum di kawasan pelantar benua, termasuk memperluaskan kawasan dalam sempadan wilayah.

“Pada 1958, Badan Perundangan Sarawak dikenali sebagai Majlis Negri pada waktu itu, meluluskan OMO 1958 (Cap. 85) untuk mengawal perlombongan minyak di Sarawak, termasuk pelantar benua,” jelasnya.

Berdasarkan perkara tersebut, Ibrahim menjelaskan wilayah Sarawak termasuk pelantar benua di luar perairan wilayah sehingga kedalaman 200 meter atau melebihi had tersebut sehingga kedalaman air membolehkan eksploitasi sumber asli di dasar laut dan subpermukaannya.

“Bagi pihak yang mempertikaikan, tidak timbul isu pelantar benua yang tidak didefinisikan dengan jelas dalam Perintah 1954 kerana Konvensyen Geneva mengenai Pelantar Benua telah menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan “pelantar benua” bagi sesebuah negeri.

“Sarawak adalah wilayah yang sedia ada sebelum Hari Malaysia seperti yang termaktub dalam Perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan dan termasuk pelantar benua di luar laut wilayah seperti yang ditakrifkan oleh Konvensyen Geneva mengenai Pelantar Benua 1958," jelasnya.

Katanya lagi, berdasarkan fakta sejarah yang jelas itu, kawasan pelantar benua yang berada dalam sempadan Sarawak yang diperluas, adalah sebahagian daripada wilayah Sarawak.

Selain itu, beliau memberitahu Sarawak telah melaksanakan hak ke atas sumber petroleum dalam pelantar benua tersebut sebelum Hari Malaysia dengan memasukkan kawasan pelantar benua dalam pajakan perlombongan yang dikeluarkan kepada SOL.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan pajakan perlombongan dan pensijilan jelasnya, ia adalah bidang kuasa perundangan negeri menurut Perkara 2(c) dalam Senarai Negeri (Senarai II) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Oleh sebab itu, tegasnya Sarawak mempunyai kuasa perundangan dan eksekutif ke atas pengeluaran pajakan perlombongan dan sijil bagi mengawal perlombongan minyak, termasuk di pelantar benua.

Malahan, katanya, Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) tidak memansuhkan OMO dan tidak mengecualikan Petronas daripada mematuhi undang-undang negeri yang sah mengikut perlembagaan walaupun Seksyen 2 PDA telah meletakkan hak petroleum dalam Petronas mengikut Perintah Hak seperti yang ditetapkan dalam Jadual Pertama.

“Satu-satunya undang-undang yang Petronas dikecualikan daripada mematuhi ialah Akta Perlombongan Petroleum 1966. (Lihat seksyen 8 PDA 1974).

“Sekiranya Parlimen berhasrat supaya Petronas dikecualikan daripada mana-mana undang-undang lain, sama ada Negeri atau Persekutuan berhubung dengan perniagaan atau aktiviti huluannya, Parlimen akan menyatakan pengecualian tersebut dalam PDA,” ujarnya lagi.
Next Post Previous Post