Sarawak tidak lagi bergantung kepada balak sebaliknya tumpu kepada ekonomi hijau

SIMUNJAN-- Sarawak tidak lagi bergantung kepada aktiviti pembalakan setelah memperkenalkan pendekatan ekonomi hijau di negeri ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.



Jelasnya, selari dengan usaha itu, Sarawak berjaya mengurangkan kadar pembalakan kepada 2 juta meter padu setahun dengan mematuhi keperluan pensijilan pengurusan hutan untuk kedua-dua hutan asli dan juga hutan ladang

"Kita tidak lagi bergantung dengan balak yang dahulu menjadi dana pendapatan tetapi sekarang kita menumpukan kepada (penjagaan) hutan untuk aktiviti ekonomi hijau seperti pemerangkapan karbon dalam usaha kita mendukung mengurangi kesan pemanasan global dan perubahan iklim dunia 

"Langkah ini diambil bagi memastikan keperluan untuk menyeimbangkan pemuliharaan alam sekitar dan juga keperluan pembangunan sosio ekonomi negeri," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Sarawak 2024 di Hutan Simpan Sabal di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, sehingga kini Sarawak mempunyai 26 Unit Pengurusan Hutan yang telah dipersijilkan merangkumi keluasan 2.38 juta hektar dan juga tujuh Unit Pengurusan ladang hutan meliputi kawasan seluas 97,966 hektar. 

"Kita bersyukur kerana hutan di Sarawak amat kaya dengan kepelbagaian biologi yang unik sehingga ia dikenali sebagai salah satu kawasan biological hotspots dunia. 


"Kawasan hutan di Sarawak juga merupakan penyumbang tertinggi kepada liputan hutan di Malaysia dengan kadar peratusan sebanyak 42 peratus daripada 18.05 juta hektar keseluruhan kawasan berhutan di Malaysia atau 7.65 juta hektar (62 peratus) daripada keseluruhan kawasan tanah negeri. 

Selain itu, beliau memberitahu, Jabatan Hutan turut bekerjasama dengan pihak National Institute of Environment Studies, Japan dengan menghantar pegawai-pegawainya ke NIES Tsukuba, Jepun bagi menjalani Latihan teknologi perhutanan iaitu kaedah penganalisaan data Light Detection and Ranging (LiDAR). 

Jelasnya, teknologi berkenaan telah dibangunkan dalam penentuan isipadu pokok serta menganggar karbon.

Katanya lagi, pada peringkat tempatan pula, Jabatan Hutan turut bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia dengan menjalankan kajian mengaplikasikan teknologi Drone Seeding sebagai kajian awal dalam program restorasi hutan.

Selepas itu, Abang Johari menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara PUSAKA dan The Malaysian Community Care Foundation (MCCF) Resources Sdn Bhd berkaitan cadangan kerjasama bagi Projek Buluh Sarawak.
Next Post Previous Post