MA63: Kabinet perlu muktamadkan isu perbezaan tafsiran dari sudut bidang kuasa
KUCHING-- Kabinet harus memuktamadkan perbezaan yang terdapat dalam tafsiran dari sudut bidang kuasa seperti sempadan dan tanah di peringkat negeri Sabah, Sarawak serta Persekutuan.
Perkara ini dijelaskan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang memberitahu isu itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Di Bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikannya pada 28 Mei lepas.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, mengambil contoh isu berkaitan pelantar benua (Continental Shelf), Sarawak memiliki tafsirannya sendiri kerana negeri ini sudah ada perundangan sendiri dan sempadan negeri sebelum penubuhan Malaysia.
"Namun, terdapat perbezaan tafsiran dari sudut perundangan di peringkat Persekutuan.
"Jadi perkara seperti ini perlu dibawa ke Kabinet untuk ditentukan apakah arah tujunya.
"Ada perkara yang agree to disagree, maknanya ‘dipersetujui’ tapi tak dipersetujui secara muktamad."
"Isu berkaitan cukai duti stem juga belum dipersetujui, ini yang saya katakan 'agree to disagree'.
"Tafsiran Sarawak ialah tanah adalah bidang kuasa negeri (tetapi) disebut dalam Perlembagaan, cukai duti stem ialah (kuasa) Persekutuan. Jadi itu satu lagi tafsiran yang berbeza ,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Bot Naga, di Surau Al-Ansar, Taman Yen Yen, di sini, hari ini.