Petronas sudah sumbang hampir RM1.2 trilion kepada negara namun Sarawak tetap ketinggalan
KUCHING -- Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak sudah lama berlalu.
Cerita tentang Sarawak bakal mengambil-alih perniagaan gas meliputi perolehan, pembekalan dan pengedaran gas asli yang dihasilkan di Sarawak bukan nya cerita baharu.
Namun, semenjak dua menjak ini media Semenanjung yang dikaitkan dengan UMNO mulai melontarkan cerita negatif tentang inisiatif tersebut.
Bermula dengan teknik baling batu sembunyi tangan yang disiarkan oleh sebuah portal picisan, akhirnya UMNO terpaksa mengerahkan kudrat Editor Kumpulan Utusan Melayu untuk menukil suatu komentar.
Tulisan beliau cuba menyandarkan hujah kepada sejarah namun ketara selektif dalam pemilihan dalil yang cuma didedahkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah selepas Tun Abdul Rahman Ya’kub sudah meninggal dunia.
Semasa arwah Tun Rahman masih hidup, Tengku Razaleigh tak berani bercerita kerana dia tahu dirinya mungkin bakal diaibkan oleh fakta sebenar yang sudah dibawa ke kubur.
Kita tidak mempertikaikan sumbangan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Gergasi minyak dan gas itu sudah menyumbang hampir RM1.2 trilion sejak tahun 1976 kepada pembangunan negara, terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19.
Namun, hakikatnya Sarawak selaku penyumbang terbesar dalam industri minyak dan gas negara masih jauh ketinggalan.
Malahan, perbezaan pembangunan yang ketara antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung amat jelas, lebih-lebih lagi dalam isu sekolah dan klinik daif di Sarawak.
Bagi merapatkan jurang pembangunan ini dan mempercepatkan usaha membaik pulih sekolah dan klinik daif di Sarawak, kerajaan Gabungan Parti Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg komited agar autonomi pendidikan dan kesihatan dikembalikan kepada Sarawak.
Selari dengan usaha itu juga, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan mengambil alih peranan Petronas dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak.
Proses peralihan itu sudah dijelaskan secara terperinci oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata tempoh peralihan itu bermula 1 Julai depan sehingga 1 Januari 2025.
"Petros akan mengambil alih peranan tersebut daripada Petronas bukan sahaja sebagai pembeli dan penjual gas asli, malah Petros akan menjalankan semua aktiviti yang berkaitan perolehan, pembekalan dan pengedaran gas asli yang dihasilkan di Sarawak," katanya ketika menggulung perbahasan untuk kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
Beliau berkata Petros dan Petronas juga bersetuju untuk menandatangani perjanjian definitif (Definitive Agreement), dengan PETRONAS mengambil maklum peranan Petros sebagai Pengagregat Gas Tunggal di bawah Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan), 2023.
"Oleh itu, bermula 1 Julai depan, Petros sebagai Pengagregat Gas Tunggal akan membeli gas asli yang dihasilkan di Sarawak dari semua pengeluar gas huluan dan menjual gas tersebut kepada semua pembeli gas hiliran termasuk loji pemprosesan gas asli cecair (LNG) di Sarawak.
"Ini membolehkan pembekalan LNG secara berterusan oleh pihak loji pemprosesan bagi memenuhi kontrak sedia ada mereka dengan pembeli LNG luar negara seperti di Jepun dan Korea," katanya.
Julaihi berkata dalam usaha meningkatkan penggunaan gas asli, Petros akan menjalankan usaha berterusan yang selaras dengan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).
"Melalui inisiatif SGR ini, pengunaan gas asli di Sarawak yang kini berada pada tahap enam peratus mampu ditingkatkan kepada 30 peratus atau lebih menjelang 2030.
"Pelan ini dijangka akan menarik pelaburan ke Sarawak, menghasilkan aktiviti ekonomi bernilai tinggi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi," katanya
Bagaimanapun, usaha yang gigih diperjuangkan Sarawak itu hingga membuahkan hasil 'lumayan' kini dicemburui segelintir pihak yang dipercayai mempunyai kepentingan dan mula 'menyerang' Sarawak.
Antara pihak yang mula lantang bersuara, Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd Mohamad Azlan Jaafar yang mengeluarkan penulisan dengan tajuk berbau menghina "Petronas milik semua rakyat, jangan ‘disakau’ negeri tertentu".
Tulisan beliau terang-terangan menghentam isu peranan Petronas akan diambil alih oleh Petros dalam kegiatan jual beli gas asli di Sarawak bermula 1 Julai ini sehingga 1 Januari 2025.
Jelasnya, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga pengasas Petronas pernah dilaporkan berkata, syarikat itu ditubuhkan antaranya atas kehendak rakyat Sarawak sendiri bagi menguruskan kegiatan industri petroleum termasuk di negeri itu.
“Ini perkara amat kontroversi kerana seolah-olah Sarawak tidak mahu kita teruskan pengurusan minyak. Tetapi tidak dapat tidak, kita semua perlu rujuk kepada sejarah.
“Penubuhan Petronas adalah atas kehendak orang Sarawak sendiri kerana (bekas ketua menteri dan bekas yang di-pertua negeri) Allahyarham Tun Rahman Ya’kub yang mencadangkan supaya Petronas tidak dimiliki oleh sesiapa, sebaliknya dimiliki oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Mohamad Azlan mendakwa implikasi pengambilan semua operasi berkaitan jual beli gas adalah terlalu besar termasuk syarikat asing diberikan hak membeli gas atau semua operasi berkaitan gas diserahkan kepada warga luar.
"Kesannya – Petronas yang kita kenali akan berakhir. Kerajaan tidak perlu lagi berharap dividen besar. Syarikat gergasi yang mencapai usia lima dekad akan menjadi seperti harimau tanpa taring. Itu belum lagi tuntutan Sabah.
Anehnya, sejarah juga membuktikan bahawa Akta itu diluluskan secara pintu belakang melalui Ordinan Darurat.
Lebih parah lagi, Ordinan Darurat sudah dibatalkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke 6, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Pada 2011, Najib yang menjadi perdana menteri ketika itu membentangkan usul untuk menamatkan tiga proklamasi darurat yang telah berkuat kuasa lebih 40 tahun, di Dewan Rakyat.
"Ordinan perlu dibawa ke kedua-dua Dewan (Rakyat dan Negara)," tegas Najib.
Anehnya, Akta Pembangunan Petroleum 1974 tidak pernah dibawa ke Dewan Undangan Sarawak untuk diusulkan, dibahas dan diluluskan.
Mengapa perkara ini tidak diterangkan kepada umum, dan sebaliknya membuat andaian bahawa orang Sarawak yang meminta penubuhan Petronas secara "dakwaan" Tengku Razaleigh sedangkan kita tidak tahu perkara sebenar.
Lebih memalukan, kita semua tahu Petronas asalnya dicadangkan oleh Tengku Razaleigh dengan prinsip "Minyak Milik Kita Semua" walhal beliau mahu mencari dana untuk memperkayakan UMNO.
Sampai bila Malaya harus bersikap biadap sedemikian, menggunakan perkataan seperti "menyakau" walhal gas yang mahu diuruskan dari Sarawak sendiri?
Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sudah bagaikan CD Golden Disc yang dimainkan berkali-kali sehingga tersangkut.
Sudah puas Abang Jo menjelaskan bahawa Sarawak mempunyai kuasa ke atas sumber minyak dan gas di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang diluluskan sebelum pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dan ia tidak pernah dimansuhkan.
Ini semua berpunca daripada buku teks sejarah Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya yang terlalu dangkal dan melahirkan rakyat buta sejarah seperti Editor Kumpulan Utusan Melayu.
Lihat sahaja grafik PDA 1974 yang disiarkan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, BERNAMA yang dibarisi wartawan rasmi, terlatih serta beretika tinggi tetapi langsung tidak meletakkan apa-apa tentang OMO 1958 seolah-olah sejarah Sarawak bukan sebahagian dari Malaysia.
Abang Jo menasihati para pengkritik supaya faham bahawa Sarawak menganggap Petronas sebagai rakan kongsi dalam industri industri minyak dan gas di negara ini.
Tegasnya, kerjasama membabitkan kerajaan Sarawak melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan Petronas terjalin berlandaskan undang–undang yang termaktub.
"Kita (Sarawak) tidak mengambil hak Petronas. Sarawak tidak berbuat demikian kerana kita meneroka industri ini berdasarkan hak malahan beroperasi mengikut parameter undang–undang.
“Petronas dan Sarawak faham mengenai perkara ini tetapi ada pihak luar cuba (mengapi-apikan) supaya Petronas tidak bekerjsama dengan Petros,” katanya.
Abang menyekolahkan pihak tertentu yang menuduh Sarawak menguasai pengurusan minyak dan gas Petronas.
Tegasnya, Sarawak berpegang kepada peruntukan dalam Perlembagaan iaitu Jadual 9 Bahagian 5, dengan menggunakan haknya untuk mencari pendapatan menerusi pelaksanaan cukai jualan.
Beliau berkata demikian susulan terdapat laporan yang mendakwa Petronas akan terjejas teruk pada masa akan datang sekiranya terus membiarkan Sarawak memonopoli industri minyak dan gas negara.
Paling biadap apabila Editor Kumpulan Utusan Melayu itu dengan lantang menyatakan kemunduran Sarawak berpunca daripada kegagalan Sarawak sendiri membangunkan negeri dan cenderung menyalahkan orang.
"Kadangkala kita lebih mudah menyalahkan orang lain di atas kegagalan sendiri membangun negeri. Orang lain semua salah. Mereka seperti berjalan di atas air. Petronas adalah hak milik semua negeri dan semua rakyat dan keistimewaan ini jangan dihancurkan kerana kerakusan kepada kekayaan mudah," katanya.
Mungkin beliau tidak menyedari kemajuan yang dicapai Sarawak dalam masa tidak sampai 10 tahun selepas Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud melepaskan jawatan kepada Tun Pehin Sri Adenan Satem yang memperjuangkan hak Sarawak yang terhakis selama ini, dilanjutkan oleh Abang Jo dalam masa 7 tahun ini mengatasi 50 tahun sebelumnya.
Jemputlah ke Sarawak, perjalanan dari Kuching ke Sarikei sekarang cuma tinggal 3 jam. Tidak lama lagi apabila dua buah lagi Lebuhraya baharu siap (bukan Pan Borneo) perjalanan Kuching - Sibu akan memakan masa sekitar 2 jam.
Jambatan yang dibina oleh Sarawak semenjak era Adenan Satem dan Abang Johari jauh lebih banyak berbanding ketika mengharapkan ihsan pemimpin pusat dari zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Badawi.
Cuma dalam era Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan terkini Anwar Ibrahim (8 tahun sebagai Menteri Kewangan) suasana mulai berubah.
Sekolah daif bakal dibaiki dengan duit Sarawak sendiri, hasil cukai Petroleum yang ditentang wartawan Malaya ini.
Harus diingat, pada tahun 2023, pendapatan Sarawak adalah sebanyak RM13.3 bilion dan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini kita telah dapat RM4.79 bilion.
Malahan, Sarawak bakal melakar sejarah apabila menjadi kerajaan negeri pertama yang membiayai terlebih dahulu projek persekutuan bagi mempercepat pelaksanaannya.
Anwar sendiri mengakui kaedah biasa akan mengambil masa, kos tinggi.
Kaedah baharu pelaksanaan projek itu dipersetujui dalam mesyuarat antara kerajaan pusat dan Sarawak.
Anwar mengakui Abang Johari telah membawa isu-isu pendidikan dan kesihatan di Sarawak pada mesyuarat itu dan menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk membiayai terlebih dahulu projek-projek Persekutuan yang perlu disegerakan seperti Pusat Kanser Sarawak.
"Kadang-kadang sekolah nak dibina, klinik di kawasan pedalaman. Maka saya kata kita (kerajaan Persekutuan) setuju sekiranya dalam keadaan negeri (Sarawak) berupaya nak mulakan projek itu dengan kos lebih rendah dan lebih cepat," katanya.
Semua ini hanya berlaku selepas Sarawak memperjuangkan hak yang terhakis serta pengembalian kuasa ke atas sumber minyak dan gas yang membawa pulangan lumayan untuk membangunkan golongan terpinggir selama ini.
Cukup-cukuplah dengan minda penafian kerana Projek Jiwa Murni RM800 juta era Datuk Seri Zahid Hamidi boleh menjadi saksi pembangunan dengan peruntukan berliun-liun disakau oleh penyangak yang disucikan oleh kesejahteraan dan perpaduan negara.
Ini belum lagi cerita Kak Mah dan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Jangan sampai kita bermasam muka, sindir menyindir dan siku menyiku menuduh orang menyakau hak sendiri.