JTS Sarawak perlu RM1.535 bilion untuk pengambilan balik tanah bagi 729 projek

KUCHING-- Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak masih memerlukan dana sebanyak RM1.535 bilion untuk melaksanakan pengambilan balik tanah bagi 729 projek. 

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dana yang diperlukan adalah sebanyak RM448.67 juta bagi 151 projek Persekutuan dan RM1.086 bilion bagi 578 projek Sarawak.

"Setakat 30 April 2024, terdapat 1,248 projek memerlukan pengambilan balik tanah bagi projek yang mana pertapakan telah diluluskan semenjak 2018. 

"Sebanyak 519 projek telah diperuntukkan dengan dana berjumlah RM1.008 bilion. 

"Daripada jumlah tersebut, 130 projek Persekutuan dan 389 projek Sarawak telah diperuntukkan masing- masingnya dengan dana sebanyak RM227.67 juta dan RM781.07 juta," katanya dalam ucapan penggulungan kementerian beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Awang Tengah memberitahu, komitmen kerajaan dalam menyelesaikan pengambilan balik tanah dalam tempoh enam bulan adalah bergantung kepada penyaluran dan ketersediaan peruntukan dana daripada agensi pelaksana. 

Tegasnya, kelewatan penyaluran peruntukan tersebut kepada Jabatan Tanah dan Survei akan menjejaskan pelaksanaan projek dan tentunya akan menjejaskan tempoh enam bulan seperti yang telah ditetapkan.

"Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua agensi pelaksana Kerajaan Sarawak dan Persekutuan supaya memastikan dana yang secukupnya, disedia dan disalurkan segera kepada Jabatan Tanah dan Survei bagi tujuan memuktamadkan proses pengambilan balik tanah," katanya.

Menurutnya lagi, antara projek mega yang telah dan sedang dilaksanakan yang melibatkan pengambilan balik tanah ialah Lebuhraya Pan Borneo, Second Trunk Road/Coastal Highway, Sarawak Sabah Link Road (SSLR), Trans Borneo dan Northern Coastal Highway (NCH). 

"Projek-projek ini adalah bertujuan untuk menyediakan prasarana rangkaian lebuhraya secara lebih terancang, sistematik dan efisien demi meningkatkan kesalinghubungan di antara kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak.

"Bagi projek Lebuhraya Pan Borneo, ketersediaan dana pengambilan balik tanah yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan kepada JTS telah berjaya memastikan pengambilan balik tanah disiapkan dalam tempoh yang dirancang dari 2015 sehingga 2017 sekali gus memberi impak besar kepada pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo. 

"Sehingga kini, lebuhraya sepanjang 826 kilometer dari Teluk Melano, Sematan sehingga ke Miri telah pun 99 peratus siap," ujarnya.

Bagi projek Second Trunk Road/Coastal Highway pula katanya, ketersediaan dana pengambilan balik tanah berjumlah RM220 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak kepada Jabatan Tanah dan Survei telah menyelesaikan pengambilan balik tanah bagi jajaran jalan sepanjang 215 kilometer. 

Beliau menjelaskan pengambilan balik tanah bagi baki jajaran jalan sepanjang 40.6 kilometer pula akan diselesaikan pada penghujung tahun ini.

"Sementara itu, bagi projek Trans Borneo Highway, Jabatan Tanah dan Survei memerlukan peruntukan dana sebanyak RM194.45 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi pengambilan balik tanah. 

"Pembinaan jalan yang melibatkan jajaran jalan sepanjang 73.8 kilometer yang dijadualkan bermula pada November 2024 akan terjejas sekiranya jumlah dana yang diperlukan tidak disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Survei," tambahnya.

Bagi projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) pula, Awang Tengah berkata, ketersediaan dana pengambilan balik tanah berjumlah RM200 juta bagi Fasa 1 yang melibatkan jajaran jalan sepanjang 77 kilometer dan sebahagian daripada Fasa 2 yang melibatkan jajaran jalan sepanjang 45 kilometer, akan diselesaikan pengambilan balik tanah pada penghujung tahun ini. 

"Pengambilan balik tanah bagi baki Fasa 2 sepanjang 275.5 kilometer yang memerlukan dana sejumlah RM127 juta akan diselesaikan pada tahun 2025 tertakluk kepada penyaluran dana yang diperlukan.

"Projek Northern Coastal Highway pula, ketersediaan sebahagian dana pengambilan balik tanah berjumlah RM20 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak kepada Jabatan Tanah dan Survei telah menyelesaikan pengambilan balik tanah bagi jajaran jalan sepanjang enam (6) kilometer pada penghujung tahun 2023. 

"Pengambilan balik tanah bagi baki jajaran jalan sepanjang 82.7 kilometer yang memerlukan dana sejumlah RM140 juta akan diselesaikan apabila keseluruhan dana yang diperlu disalurkan sepenuhnya.

"Kementerian saya akan sentiasa meningkatkan komunikasi dan koordinasi dengan agensi lain yang melibatkan penyaluran dana demi memastikan kejayaan pelaksanaan projek yang lebih efisien," tegasnya.
Next Post Previous Post