Penemuan monyet spesis terancam, 845 hektar tanah di Sungai Selai Inah, Jemoreng sedang diwartakan

KUCHING-- Jabatan Hutan Sarawak dalam proses pewartaan kawasan habitat monyet spesis terancam, Presbytis Chrysomelas cruciger (Tricolour Langur) atau monyet merah yang ditemui di Sungai Selai Inah, Jemoreng.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pewartaan itu melibatkan tanah seluas 845 hektar sebagai Sungai Selai Inah Protected Forest.

"Satu penemuan habitat terbaharu monyet Presbytis Chrysomelas cruciger (Tricolour Langur) atau monyet merah telah direkodkan di Sungai Selai Inah, Jemoreng semasa ekspedisi saintifik dilaksanakan di kawasan berkenaan. 

"Penemuan ini telah diterbitkan pada 27 Mac 2024, dalam artikel antarabangsa, iaitu Check List the Journal of Biodiversity Data. 

"Spesis tersebut hanya pernah dijumpai di Taman Negara Maludam. Untuk makluman, monyet yang unik tersebut dikategorikan sebagai spesis terancam secara kritikal dalam International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List serta spesis yang terlindung dalam Wild Life Protection Ordinance, 1998.

"Oleh itu, Jabatan Hutan Sarawak dalam proses pewartaan kawasan habitat monyet tersebut, iaitu seluas lebih kurang 845 hektar sebagai Sungai Selai Inah Protected Forest," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementerian beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Mengenai pengiktirafan dunia kepada khazanah hutan Sarawak, Awang Tengah berkata, Sarawak menyasarkan untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO bagi Sarawak Delta Geopark pada 2026. 

Katanya, sebagai persediaan ke arah pengiktirafan tersebut, pelbagai usaha sedang giat dilaksanakan bagi memastikan pencalonan SDGp memenuhi dan mematuhi kriteria UNESCO Global Geopark (UGGP). 

Tambahnya, antara inisiatif yang telah dan sedang dijalankan adalah menubuhkan Unit Pengurusan Geopark, penyediaan dossier, pelaksanaan pelbagai aktiviti kesedaran awam dan pembinaan infrastruktur bagi kedampakan SDGp. 

Tegasnya, pengiktirafan Sarawak Delta Geopark sebagai UNESCO Global Geopark akan melonjakkan industri geopelancongan di Sarawak sekaligus meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk selaras dengan aspirasi PCDS 2030.

"Pada September 2023, International Council on Monuments and Sites (ICOMOS) yang berpusat di Paris telah membuat penilaian teknikal terhadap cadangan pencalonan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. 

"Sehubungan itu juga, satu dokumen Integrated Conservation Management Plan telah disedia dan diserahkan ke Pejabat UNESCO, Paris pada bulan Februari 2024 untuk menyokong pencalonan tersebut. 

"Cadangan pencalonan ini dijangka diputuskan semasa persidangan World Heritage Committee yang ke-46, yang dijadualkan pada bulan Julai 2024 di India," ujarnya.
Next Post Previous Post