Hutan di Sarawak terbesar di Malaysia

KUCHING-- Hutan di Sarawak masih luas dan kekal pada keluasan 7.65 juta hektar atau 62 peratus iaitu penyumbang terbesar kawasan liputan hutan di Malaysia.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak kekal sebagai penyumbang terbesar kawasan litupan hutan di Malaysia iaitu sebanyak 42.4 peratus daripada 18.05 juta hektar keseluruhan kawasan berhutan di negara ini.

"Sarawak berjaya mengekalkan keluasan liputan hutannya iaitu 7.65 juta hektar atau 62 peratus.

"Jumlah ini menjadikan Sarawak penyumbang terbesar kawasan liputan hutan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementerian beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Pada masa sama Awang Tengah berkata kerajaaan Sarawak melalui dasar Pensijilan Pengurusan Hutan menyasarkan tiga juta hektar kawasan Lesen Jangka Panjang untuk dipersijilkan selewat-lewatnya pada 2025.  

"Setakat ini, sejumlah 26 Unit Pengurusan Hutan dengan keluasan 2.38 juta hektar dan tujuh unit Pengurusan Ladang Hutan dengan keluasan 97,966 hektar telah mendapat pensijilan masing-masing," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu 1,145,465 hektar atau 2,830,444 ekar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah diukur secara perimeter.

"Daripada jumlah itu, seluas 908,460 hektar atau 2,244,805 ekar diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak setakat 30 April lepas," jelasnya.

Tambahnya, pewartaan untuk baki kawasan yang telah diukur secara perimeter akan dilaksanakan secara berterusan. 

Tegasnya, kerja-kerja pengukuran tanah NCR adalah berdasarkan permohonan daripada pihak yang terlibat. 

Jelasnya, kawasan yang terlibat dengan kes mahkamah hanya akan diukur setelah kes tersebut selesai atau pihak yang terlibat menarik balik tuntutan mereka di mahkamah dan membuat permohonan baharu.
Next Post Previous Post