Tambang e-hailing mahal, pengguna mengeluh lama tunggu bas
MIRI— Pengguna bas awam di sini mengeluh dan kecewa dengan bilangan bas yang beroperasi semakin berkurangan menyebabkan mereka terpaksa menunggu lebih lama.
Berdasarkan perkongsian warga Miri di Facebook, masalah ini kerap dihadapi pengguna yang tinggal di kawasan perumahan Taman Tunku selain laluan ke Hospital Miri.
Seorang pengguna dikenali sebagai Nyalla Bareng Nyalla berkata, kemudahan bas yang tidak mencukupi membebankan penduduk dari Taman Tunku pergi ke pusat bandar untuk urusan penting atau bekerja.
“Kenapa bas Taman Tunku hanya satu yang berjalan? Mana bas yang lain tidak beroporasi?
“Hanya QMB 9798 yang berporasi, mana yang lain? Penguna bas awam ke Taman Tunku begitu lama duduk menunggu. Kenapa dan mengapa?
“Bilang Sarawak maju tetapi kenderaan awam tak cukup,” katanya dalam hantaran tersebut.
Jelasnya, penduduk tiada pilihan dan terpaksa menunggu lebih dua jam kerana ia satu-satunya pengangkutan yang paling murah untuk turun ke tempat kerja di bandar raya Miri.
Seorang pengguna dikenali sebagai Nur Nazyema berkata, tidak semua orang berkemampuan menggunakan kemudahan e-hailing kerana kos yang sangat mahal berbanding bas.
"Selalunya ada tiga bas, masih ramai yang bekerja pakai bas. Tak semua gaji RM5,000 berjuta-juta, kena berjimat juga komitmen tak sama,"katanya.
Dalam pada itu, Aliessia Dengun pula turut mengakui bilangan bas ke Taman Tunku sekarang semakin berkurangan.
"Betul tu, makin kurang bas sekarang malah emak saya turun kerja terpaksa menggunakan Grab dan Maxim dari Taman Tunku ke Parkson.
"Bas Taman Tunku sekarang sangat lambat,sebab tu penumpang tak nak naik.
"Paling kasihan kepada golongan warga emas mana mereka tahu, nak order Grab atau Maxim. Lagipun, tak semua orang mampu nak bayar," katanya.
Seorang lagi individu dikenali sebagai Mia Mia berkata, masalah yang sama turut dialami pengguna bagi laluan ke Hospital Miri.
"Hanya satu bas juga disediakan dan bagi kami yang tiada kereta, terpaksalah menunggu bas walaupun berjam-jam," katanya.
Walaupun pengangkutan alternatif seperti Grab dan Maxim ada, namun tidak semua mampu menggunakannya.
Selain itu warga Miri mengadu kebanyakan bas yang beroperasi sudah usang dan tidak sesuai digunakan dengan status Miri sebagai bandar raya peranginan.
"Itulah yang menariknya di Miri, bas yang beroperasi itu hanyalah sisa yang belum jadi besi buruk.
"Kuching upgrade sana sini, Miri dia kasi ala kadar...bersyukurlah ada bas dari berjalan kaki," sindir seorang netizen.
"Betul ya, bas ke hospital berapa kali rosak, bas boleh jadi besi buruk udah. Cakao bandar raya status, tetapi bas langsung tak dinaik taraf.
Masalah yang menghantui warga Miri itu turut mendapat simpati dari seorang netizen dikenali sebagai Emily Ling.
"Kesian orang Miri yang masih
memerlukan perkhidmatan bas awam untuk pergi balik kerja, kamek pernah alami betapa seksanya tunggu bas Iama-lama.
"Tapi kinek tok kamek dah balit kerja di Kuching,apa bas pun ada. SEB bas ada (free charge) manakala Asia Bus, bas hidrogen dan City Link pun ada dengan tambang RM1," katanya.