Isu tanah punca kelewatan penyambungan elektrik di Lawas, Limbang- Awang Tengah
LAWAS--Sikap segelintir pemilik tanah yang enggan memberikan kerjasama dikenal pasti antara punca kelewatan penyambungan elektrik di kawasan pedalaman utara Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, kerajaan melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) kini giat menyambungkan grid elektrik negeri ke kawasan Lawas dan Limbang bagi memperbaiki infrastruktur tenaga di kawasan tersebut.
"Namun konflik berkaitan hak pemilikan tanah telah menyukarkan pelaksanaan cadangan berkenaan.
"Ada kontraktor yang dihalang di jalan sehingga merumitkan proses dan pelaksanaan projek.
"Jika keadaan ini berterusan kita akan ada masalah untuk meluaskan lagi elektrik ke pedalaman dan ia akan melambatkan lagi proses untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat kita," katanya dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu berkata demikian semasa berucap menyempurnakan majlis berbuka pasa anjuran SEB, di sini pada Ahad.
Awang Tengah menambah, isu pemilikan tanah perlu ditangani dengan teliti dan berhati-hati bagi mencapai kerjasama yang baik antara pemilik tanah, pihak berkuasa dan kontraktor.
Katanya, pemilikan tanah yang jelas dan sah membolehkan pelaksanaan projek berjalan dengan lancar, cekap dan berkesan.
"Kita tidak rampas begitu sahaja, kalau pemilik tanah ada bukti, kita hormat kerana mereka ada hak, dan kita sedia membayar pampasan dan berbincang.
"Saya harap ketua-ketua masyarakat dapat menyampaikan kepada anak buah masing-masing tentang masalah ini agar kemajuan dan kemudahan dapat kita teruskan sampai ke pedalaman,"katanya.
Beliau menambah, kerajaan turut merancang untuk memanjangkan liputan elektrik meliputi semua rumah panjang dan kampung, sehingga ke Ba'kelalan bagi memastikan tiada rakyat ketinggalan menikmati kemudahan itu.