Raya hari kelapan masih berbaju Melayu, masyarakat bukan Islam rai bersama-Abang Johari
BINTULU-- Sudah memasuki hari kelapan sambutan Hari Raya, masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini tetap meraikannya bersama tanpa mengira perbezaan.
Suasana ini harus dipertahankan bagi memastikan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak kekal terpelihara.
Saranan ini disuarakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang kagum dengan semangat perpaduan rakyat di negeri ini yang sentiasa bersama dalam meraikan perayaan.
"Alhamdulillah kita dapat merayakan Aidilfitri dalam suasana aman dan makmur dan hari ini adalah hari kelapan kita merayakan Syawal dan di Sarawak hari lapan rakyatnya masih memakai baju Melayu dan juga bersama-sama dengan rakan-rakan kita yang bukan Islam.
"Inilah kita di Sarawak, kita hidup sebagai sebuah keluarga dan inilah ciri-ciri yang menjadi contoh kepada orang lain.
"Orang Semenanjung kata kalau nak lihat perpaduan kukuh lihatlah di Sarawak kita ikut rakyat di sana (Sarawak)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Ramah Aidilfitri anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) hari ini.
Justeru, beliau menggesa rakyat Sarawak untuk terus mengekalkan dan mempertahankan perpaduan yang ada ini yang menjadi tunjung kepada keharmonian dan keamanan di negeri ini.
"Inilah budaya kita di Sarawak yang harus kita perahankan," tambahnya.
Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu jambatan ikonik di Bintulu akan terhubung sepenuhnya tidak lama lagi.
"Tadi saya naik kapal terbang ke sini dan lihat jambatan di sini tidak lama lagi akan bersambung.
"Itulah jambatan ikonik yang begitu cantik rekaannya dan ini akan menjadikan Bintulu sebuah kawasan yang menarik seperti San Francisco," katanya.
Selain itu, beliau memberitahu, Bintulu akan terus membangun dengan prasarana yang moden termasuk Sistem Transit Aliran Autonomi (ART).
"Lima tahun akan datang Bintulu akan lebih sibuk. Pertamanya kawasan Samalaju akan diperbesarkan kerana bagi memudahkan pelaburan datang di Samalaju.
"Kedua disebabkan kita membesarkan samalaju infrastrukturnya hendaklah kita sediakan dengan lebih moden.
"Keyakinan ini kerana kita di Sarawak mempunyai kerajaan yang mempunyai hala tuju yang jelas dalam kita membangunkan industri di negeri ini," ujarnya.