Wanita Warga Emas Dikhuatiri Dibaham Buaya Ketika Cari Lokan

KUCHING-- Seorang wanita warga emas dikhuatiri dibaham buaya ketika keluar mencari lokan di Sungai Rayu, Jalan Selang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali Minu Kin,60.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak menerima laporan berhubung kes itu jam 1.55 tengah hari dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi kejadian.

"Mangsa dilaporkan telah keluar bersama dengan anak saudaranya bernama Jimmy di kawasan Sungai Rayu untuk mancari lokan pada jam 8 pagi. 

"Menurut saksi, iaitu anak saudara mangsa, kemungkinan mangsa telah dibaham buaya kerana terdapat kesan darah dan kesan tapak kaki telah dijumpai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pasukan Bomba bersama pihak kampung membuat pencarian awal menggunakan bot penduduk di sekitar kawasan dipercayai lokasi serangan.

Operasi ditangguh pada jam 6 petang dan akan bersambung esok hari.
Next Post Previous Post