Mayat terapung di Senadin, 10 kesan tetakan Ketua Polis Daerah Miri

MIRI— Polis mengesahkan terdapat 10 tetakan pada mayat seorang lelaki yang ditemukan terapung dalam kolam di Jalan Lake Shore, Desa Senadin di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, jumlah tetakan itu diperoleh hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa, Lah Wan, 57.

“Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati terdapat enam kesan kecederaan di bahagian kepala disyaki berpunca dari tetakan objek tajam dan dua kesan tetakan pada tapak tangan kanan.

“Selain itu, satu satu kesan tetakan masing-masing pada bahagian belakang badan dan pada lutut sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil risikan dan maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) berjaya menahan seorang suspek iaitu lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tetungkup di kawasan tebing tasik dan telah di bawa ke darat.

“Mangsa hanya berseluar dalam sahaja dan terdapat seluar pendek yang tersangkut pada pergelangan kaki. Mayat magsa telah di bawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.

Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini untuk tampil ke balai polis yang berhampiran untuk membantu siasatan atau menghubungi Asp Anuar Affendi ditalian 019 7319540 atau 085 433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan

Semalam, Borneo Network melaporkan satu mayat lelaki ditemukan terapung di kolam berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Lake Shore, Desa Senadin.

Penemuan itu disedari oleh orang awam yang pergi ke kawasan berkenaan untuk membuang sampah sekitar 9.30 pagi yang kemudian menghubungi pihak polis. 
Next Post Previous Post