Perkuburan dibakar didakwa persiapan perayaan Ching Ming?
KUCHING— Kaum keluarga kesal dan kecewa melihat kawasan Perkuburan Hakka di Batu 14, Jalan Penrissen, Puncak Borneo yang biasanya ditumbuhi rumput kini ‘gondol’ didakwa dibakar sebagai persiapan untuk Perayaan Ching Ming.
Menurut perkongsian seorang netizen di Facebook, gambar tersebut diambil pagi semalam dan melihat kepada keadaan, ia dilakukan dua atau tiga hari yang lalu.
“Rumput tersebut sepatutnya dipotong, tetapi Jawatankuasa Perkuburan Persatuan Hakka atau kontraktor mereka mengambil cara mudah dengan membakar rumput tersebut.
“Mereka tidak sepatutnya membuat pembakaran kerana ia bukan hanya merosakkan malah memusnahkan kubur di situ.
“Adakah persatuan akan bertanggungjawab mahu membayar kerugian atas kerosakan?” katanya yang kesal dengan kejadian itu.
Tegasnya, Perayaan Ching Ming disambut setiap tahun dengan tarikh yang telah ditetapkan.
“Justeru persatuan sepatutnya sudah bersiap sedia lebih awal dan tidak membuat persiapan pada saat-saat akhir.
“Jangan kerana hendak jimat kos, mereka membuat pembakaran sebagai jalan singkat,” katanya.
Perkongsian itu turut mencetuskan kemarahan kepada netizen dan mereka mahu tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran tersebut.
“Tidak perlu kumpul yuran penyelenggaraan kubur, cara paling senang ialah bakar.
“Perbuatan ini sangat biadap dan tidak menghormati roh.
“Pembakaran boleh menyebabkan jubin kubur pecah dan rosak, adakah mereka mahu membayar ganti rugi?
“Persatuan harus bertanggungjawab sekiranya berlaku kerosakan,” kata mereka.