Mahasiwa UPNM dari Sabah balik beraya guna penerbangan ihsan pesawat TUDM

KUCHING-- Tinggal seminggu untuk meraikan ketibaan bulan Syawal, kebiasaannya pelajar universiti yang menuntut di luar negeri terutamanya yang berasal dari Sabah dan Sarawak pulang beraya menaiki penerbangan komersial.

Akan tetapi harga tiket kapal terbang yang kebiasaannya melonjak ketika musim perayaan boleh menjadi terlalu mahal, apatah lagi bagi para pelajar untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Namun, ini berlainan bagi pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dari Borneo yang dihantar pulang dengan menaiki pesawat Airbus A400M hak milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Seperti tahun-tahun sebelum ini, UPNM tampil dengan inisiatif untuk membantu pelajar yang memerlukan pulang ke kampung halaman di Sabah dan Sarawak.

Baru-baru ini tular mengenai perkara tersebut di TikTok milik seorang penuntut di universiti awam itu.

Berdasarkan kepada gambar dimuat naiknya, sekurang-kurangnya 11 orang pelajar telah dihantar pulang ke Sabah dalam penerbangan kali ini.

Kesemua pelajar itu telah dihantar pulang menaiki pesawat Airbus A400M hak milik TUDM yang berlepas dari Lapangan Terbang Pangkalan Udara Subang.

Berkongsi pengalaman berharga itu, Ismail Kasim berasal dari Sandakan, Sabah berkata, dia antara penuntut UPNM dari Sabah menaiki pesawat tersebut.

"Alhamdulillah, selepas beberapa tahun akhirnya dapat juga naik pesawat TUDM ini.

"Dua tahun berturut-turut terlibat secara tidak langsung membantu mahasiswa Sabah untuk pulang ke Sabah menggunakan penerbangan ihsan TUDM namun saya tidak pernah dapat turut serta. 

"Dua tahun lepas tak dapat naik sebab tiket dah beli awal, jadi terpaksa naik. Tahun lepas tak dapat naik sebab berada di Indonesia untuk program pertukaran pelajar, tapi alhamdulillah perancangan rezeki tuhan itu sangat indah, akhirnya dapat juga merasa menaiki pesawat ini.

"Terima kasih pihak MINDEF, TUDM, UPNM, MPP, serta PERSIS di atas peluang ini," ujarnya.

Difahamkan pesawat itu juga membawa barang-barang operasi pihak TUDM.

Dalam pada itu, ada juga individu yang mempersoalkan siapakah yang menanggung kos penerbangan tersebut memandangkan ia menggunakan aset kerajaan.

Beberapa individu lain menerangkan bahawa pesawat tersebut dikhaskan untuk membawa kargo pada asalnya, tetapi mempunyai ruang untuk menghantar para pelajar itu pulang sekali.

Untuk rekod, ia bukan pertama kali UPNM mendapatkan khidmat pihak TUDM untuk menghantar pelajarnya pulang.

Pada tahun lepas, 20 pelajar UPNM dihantar pulang menaiki pesawat TUDM untuk pulang ke kampung halaman di Sabah dan Sarawak bagi tujuan menyambut hari raya.

Malah, seramai 25 pelajar dihantar pulang ke Sabah pada 2022, manakala terdapat 18 mahasiswa UPNM pulang ke negeri itu menggunakan pesawat pengangkut TUDM pada 2021.

Difahamkan juga, pelajar yang berpeluang menaiki pesawat TUDM untuk pulang ke kampung halaman itu dari kalangan mereka yang terpilih dan golongan memerlukan.
Next Post Previous Post