Hilux "terpaling laju" Saratok-Betong kena lima saman polis, kenderaan ditahan

KUCHING-- Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang "terpaling laju" dalam satu video tular berjaya dikesan dan telah dikeluarkan lima saman polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Bingkok John menerusi Facebook rasmi JSPT berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung video tular pada 1 April lali sekitar jam 11 pagi.

Jelasnya, video tular itu dimuatnaik di media sosial oleh seorang individu pada 4 Mac 2024 yang memandu laju di Lebuhraya Pan Borneo dari arah Saratok ke Betong. 

"Berikutan itu, pihak JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak telah mengarahkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuching untuk mengesan pemandu pacuan empat roda tersebut.

"Pada 2 April 2024 (Selasa) Pihak BSPT IPD Kuching telah berjaya mengesan dan mengarahkan pemandu tersebut untuk hadir ke BSPT IPD Kuching," katanya dalam kenyataan itu.

Tambahnya, pada hari ini (3 April 2024), jam lebih kurang 10.30 pagi, pemandu pacuan empat roda tersebut telah hadir serah diri di BSPT IPD Kuching. 

"Hasil siasatan mendapati pemandu terbabit mengakui perbuatan dan kesalahannya tidak mengikut peraturan trafik di jalan raya dan tidak sepatutnya berbuat demikian

"Sebanyak lima saman PDRM (K) 257 telah dikeluarkan kepada pemandu berkenaan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan," tegasnya.

Jelasnya lagi, kenderaan terbabit juga telah ditahan di bawah Seksyen 60 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Next Post Previous Post