Sarawak bina semula kuarters guru, jururawat- Abang Johari

Premier Sarawak bersama Dato Mancha (dua kiri) dan yang lain menunggu waktu berbuka


KUCHING— Lebih 60 peratus klinik dan sekolah di Sarawak dalam keadaan daif dan tidak menepati kualiti yang dibenarkan Jabatan Kerja Raya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sehubungan itu kerajaan negeri meancang untuk membina semula kuaters guru dan jururawat.

“Kerajaan negeri akan membantu membiayai projek Persekutuan bagi kedua-dua sektor seperti yang dipersetujui Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada minggu lepas di mana Sarawak membiayai dahulu projek-projek tersebut dan akan dibayar balik oleh kerajaan persekutuan. 

“Keadaan sekolah dan klinik di Sarawak perlu setara dengan pengiktirafan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia,” katanya dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Abang Johari berkata demikian semasa menghadiri Majlis Iftar Ramadan dan Solat sunat Tarawih bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak di Kuching pada Rabu.

Premier Sarawak disambut oleh warga PDRM sebaik tiba di Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion bagi mempercepatkan pembangunan luar bandar khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan. 

Premier menambah, dana tersebut adalah di bawah agensi pembangunan luar bandar seperti Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di mana sebahagian daripada dana tersebut boleh digunakan untuk memperbaiki dan membina semula sekolah dan klinik daif di luar bandar. 

Sementara itu, Premier Sarawak sempat menunaikan Solat Maghrib, Isya dan Sunat Tarawih bersama warga PDRM Kontinjen Sarawak bertempat di Masjid Al-Mujahidin, Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya selepas berbuka puasa. 


Turut hadir isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak Datin Jennita William, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk lbrahim Darus, Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak Datin Zanilatun Kamariah Zakaria serta warga PDRM kontinjen Sarawak

Next Post Previous Post