Portuguese Man o'War terdampar di Pantai Esplanade Luak
MIRI— Penduduk di persisiran Pantai Esplanade Luak, di sini dinasihatkan berhati-hati berikutan penemuan obor-obor spesies Portuguese Man O' War atau nama saintifiknya physalia cnidaria yang beracun dan berbahaya.
Pengarah Pertahanan Awam Sarawak, Mohtar Samat berkata, haiwan tersebut ditemui oleh petugas penyelamat pantai yang melakukan rondaan.
“Haiwan berkenaan memiliki sengat dan racun yang sangat berbisa walaupun sudah mati.
“Oleh itu, pengunjung pantai diingatkan agar lebih berhati-hati ketika berada di kawasan pantai,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak.
Sebelum ini pada Februari lalu, APM turut melaporkan penemuan obor-obor ini di pantai Sarawak dari Sematan hingga ke Mukah, termasuk Telok Melano.
Hidupan laut yang menyerupai kondom ini dalam spesies obor-obor yang dikategorikan dalam filum cnidaria itu mempunyai ribuan sel penyengat berbisa.
Physalia adalah haiwan yang dikategorikan dalam filum cnidaria bersama-sama obor-obor di mana ia tidak boleh berenang dan bergantung kepada arus.