8 tahun di sekolah pedalaman Sarawak bentuk jati diri lebih kental
Kenderaan dipandu Syauqi terkandas 11 jam di laluan jalan tanah semasa hendak ke Sungai Siput. Namun akhirnya dia selamat sampai ke sekolah sekitar jam 1 pagi pada 1 Januari 2024. |
KUCHING-- Disebalik kepayahan menjadi seorang guru pedalaman, tersimpan seribu kisah suka dan duka serta pengalaman yang mampu membentuk jati diri yang lebih kental.
Berkongsi kisah cabaran sebagai guru pedalaman ini, Cikgu Muhammad Syauqi Zainal Abidin menyifatkan pengalamannya itu membuatnya banyak belajar tentang kebergantungan pada Tuhan.
Beliau yang sudah 10 tahun menjadi seorang guru pedalaman, mula berkhidmat di sebuah sekolah di pedalaman Sarawak pada 1 April 2014 sehingga 2022.
Selepas itu, beliau kini sudah dua tahun mengajar di sekolah pedalaman di Perak iaitu Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Kemar, Gerik.
"Dari zaman bujang, kemudiannya beristeri, kemudiannya punya dua anak, aku masih memegang status "guru pedalaman".
"Aku pernah bermalam di tengah hutan sewaktu bertugas di pedalaman Sarawak, gara-gara motosikal pancit di pertengahan jalan.
"Ini bukan cerita tidur dalam kereta atau khemah. Ini tidur atas tanah merah dalam pekat malam, sambil hujan turun mencurah. Penat punya pasal setelah berjalan kaki hampir 11 jam melalui jalan balak dari Lusong Laku nak pulang ke sekolah," katanya.
Malah, Syauqi memberitahu, dia sekeluarga pernah bergelap dan berpanas seminggu gara-gara generator mereka rosak.
Tambahnya lagi, untuk ke klinik terdekat pun memakan masa dua jam perjalanan, apatah lagi ke bandar yang memerlukan 4 hingga 5 jam perjalanan.
"Rangkaian telefon pun banyak masalah, Internet apatah lagi dan terputus bekalan air itu aku dah lali sewaktu berada di sana.
"Di pedalaman Perak pula, aku pernah tersangkut bersama isteri dan anak kecil di tengah hutan sebelum mendapatkan bantuan rakan.
"Kira-kira 7 jam juga kami di tengah hutan sebelum tiba di sekolah jam 11 malam," kongsinya.
Tegasnya, dia menceritakan semua pengalaman itu bukan sebab hendak sembang kononnya pengalamannya paling mencabar, paling hebat semasa bertugas di pedalaman.
"Bukan nak suruh orang puji, sanjung aku dan guru-guru pedalaman lain.
"Bukan juga nak tunjukkan yang kehidupan aku di pedalaman tersangat susah.
"Tapi, 'point' yang aku nak sampaikan di sini, hidup di pedalaman ini sebenarnya banyak membentuk jiwa aku menjadi lebih kental.
"Jika aku tidak berada di pedalaman, mungkin aku takkan jadi seorang yang kental seperti hari ini," jelasnya.
Tambahnya, "bak kata orang, setakat rasa susah sikit-sikit tu, kau tak cepat melatah. Bila duduk di pedalaman ni, aku banyak belajar mensyukuri nikmat yang ada di depan mata".
Dalam pada itu, Syauqi memberitahu, ada kalanya situasi di pedalaman boleh membahayan nyawa namun ia menjadikan dirinya lebih berani berdepan sesuatu cabaran dan bersiap-sedia dengan sebarang risiko dan kemungkinan.
"Yang paling banyak aku belajar, kebergantungan pada Tuhan. Serius!
"Kalau nak cerita, banyak lagi benda. Semangat setiakawan bersama rakan-rakan yang dah dianggap seperti keluarga, belajar erti kehidupan melalui anak murid dan penduduk tempatan. Ah, banyak lagi, macam-macam perkara yang boleh dipelajari di pedalaman," ujarnya.
Pada masa sama, Syauqi berkata, jika benar-benar niat mahu belajar, seseorang itu tidak perlu mengira di mana sahaja berada.
"Orang kata, kerja di pedalaman ni tak pening kepala. Tapi, mengapa ramai yang menolak?
"Orang kata, kerja di pedalaman ni elaunnya banyak. Tapi, mengapa ramai yang mengelak?
"Bagi aku, hakikatnya, hidup di pedalaman ni kena ada "jiwa".
"Tak ada jiwa, kau takkan bertahan lama. Sekian, sedikit coretan sempena 10 tahun perkhidmatan dalam dunia pendidikan," katanya lagi.