Bekas ahli PSB masuk PDP?

KUCHING— Laporan mengatakan Parti Sarawak Bersatu (PSB) telah dibubar oleh  Pendaftar Pertubuhan (RoS) menimbulkan persoalan masa depan kira-kira 80,000 bekas ahli, sama ada menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) atau sebaliknya.

Pembubaran parti yang diketuai Datuk Seri Wong Soon Koh itu dilaporkan sudah mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS), menurut sumber yang tidak dinamakan, lapor Free Malaysia Today.

Pembubaran ini menghantar isyarat jelas bahawa parti itu mungkin terkubur selamanya sekaligus membuka jalan kepada ahli-ahlinya untuk menyertai PDP atau parti lain.

Laporan itu menambah, lebih 1,500 bekas ahli PSB seluruh Sarawak akan dialu-alukan ke dalam PDP dalam satu majlis makan malam besar di Kuching pada 6 April (Sabtu) ini bagi menandakan kerjasama baharu.

Perbincangan mengenai penggabungan kedua-dua parti itu telah diadakan sejak Julai tahun lalu, dan perwakilan PSB dipercayai telah meluluskan pembubaran parti itu bulan lalu.

Pada 13 Julai lepas, PDP yang diwakili Tiong dan Soon Koh yang mewakili PSB telah menandatangani satu memorandum persefahaman bagi menjalin kerjasama untuk melihat kemakmuran dan kestabilan politik dalam negara.

Soon Koh ketika mengumumkan perkara itu berkata, kerjasama dengan PDP bagi memastikan parti itu dapat berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Untuk rekod, PDP merupakan salah satu parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2021, PSB bertanding sebagai parti pembangkang dan hanya mampu menang empat daripada 82 kerusi yang dipertanding.

Kerusi-kerusi berkenaan ialah Soon Koh sendiri (DUN Bawang Assan); Johnical Rayong (DUN Engkili), Baru Bian (DUN Ba Kelalan) dan See Chee How (DUN Batu Lintang).

Bagaimanapun, Chee How mengambil keputusan keluar PSB pada Ogos 2022 menjadi ADUN bebas di DUN Sarawak.
Next Post Previous Post