Seorang maut dua cedera, 4WD dinaiki terbabas lalu terjunam ke dalam longkang
LUBOK ANTU -- Seorang maut manakala dua lagi mengalami kecederaan selepas pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabs sebelum terjunam ke dalam longkang di Simpang Lubok Antu malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa maut dikenali sebagai Rotela Angela Roger disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi.
Menurut beliau, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 8.40 malam.
"Tiba di lokasi pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan kendiri melibatkan sebuah 4WD model Toyota Hilux yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke arah bertentangan dan terbalik ke dalam longkang," ujarnya.
Ekoran dari kemalangan yang berlaku katanya, mangsa telah tercampak keluar sebelum dihempap oleh kenderaan tersebut manakala dua lagi mangsa berjaya dikeluarkan sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
Setelah "size-up" dijalankan, pasukan bomba menggunakan khidmat kereta tunda bagi mengalih kenderaan bagi mengeluarkan mangsa yang dihempap kenderaan tersebut.
"Setelah berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan KKM sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dua lagi mangsa mengalami kecederaan telah dibawa oleh ambulan KKM ke hospital bagi diberikan rawatan lanjut.
Setelah keadaan didapati benar-benar selamat dan terkawal, operasi ditamatkan pada jam 9.51 malam sebelum bertolak balik ke balai.