Kes penipuan "scammer" di Kuching meningkat, libatkan hampir RM3 juta kerugian

KUCHING-- Trend peningkatan kes penipuan "scammer" di daerah Kuching dicatatkan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, dalam tempoh itu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah membuka sebanyak 49 kertas siasatan yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan melibatkan kes penipuan" scammer". 

"Jumlah keseluruhan kerugian yang dilaporkan sebanyak adalah sebanyak RM2,940,124.71," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ahsmon, modus operandi kes penipuan" scammer" adalah melibatkan penipuan secara dalam talian melalui panggilan telefon serta iklan media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok, Wechat dan sebagainya.

Katanya, mangsa yang terlibat dengan penipuan ini akan diarahkan oleh suspek untuk menyerahkan maklumat perbankan atau meminta mangsa untuk membuat pindahan wang ke dalam akaun bank pihak ketiga.

"Daripada 49 kes yang telah disiasat, anggaran umur mangsa adalah antara 19 tahun sehingga 70 tahun yang kebanyakannya terdiri daripada pegawai kerajaan, agensi swasta, pelajar dan suri rumah," dedahnya.

Menurutnya lagi sebanyak 33 kertas siasatan telah dituduh bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Mac tahun ini melibatkan kes penipuan yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang satu tahun dan tidak lebih sepuluh tahun dan dengan sebat, dan juga dikenakan denda.

Justeru, beliau menasihati orang awam agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon yang tidak dikenali serta iklan-iklan yang di paparkan di media sosial.

"Sekiranya terdapat sebarang kemuskilan, boleh hubungi talian 997 nasional scam response center (nsrc) atau hadir ke balai polis dan bank yang berhampiran bagi mendapatkan nasihat," ujarnya.
Next Post Previous Post