Lebuhraya Pan Borneo di Miri catat kemalangan maut tertinggi

Lee semasa bercakap kepada media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri sempena Sambutan Perayaan 2024 di Stesen PETROS Darul Hana di sini, hari ini.

KUCHING— Kemalangan maut di Sarawak bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini paling banyak direkodkan di Lebuhraya Pan Borneo di bahagian Miri, iaitu sebanyak 15 kes.

Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, salah satu punca utama ialah kerja-kerja pembinaan yang sedang dilaksanakan ketika ini.

“Tidak dinafikan (kerja-kerja pembinaan) antara punca kemalangan maut. Namun kementerian akan melaksanakan kajian forensik bagi mengenal pasti faktor lain. 

“Setakat ini kita sudah mengemukakan maklum balas terutama berkaitan papan tanda dan pembahagi jalan kepada pihak Lebuhraya Pan Borneo dan kementerian akan melakukan siasatan lanjut,” katanya.

Lee berkata demikian selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri sempena Sambutan Perayaan 2024 di Stesen PETROS Darul Hana di sini, hari ini.

Sejumlah 5,278 kes kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 75 kemalangan maut dengan Miri mencatatkan jumlah kematian paling tinggi iaitu 15 orang diikuti Padawan dan Bintulu, masing-masing sembilan kes.

Manakala Belaga mencatat tiga kes, Lundu (2), manakala Bau, Kapit, Lawas, Lubuk Antu, Meradong, Mukah, Samarahan, Serian, Simunjan dan Sri Aman masing-masing satu kes.

Mengulas lanjut, Lee berkata kementerian akan mengadakan kajian kawasan kerap kemalangan bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Kajian ini meliputi jalan raya kerap kemalangan termasuk Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

“Walaupun kebanyakan kes kemalangan berpunca daripada kecuaian dan kelalaian manusia, namun tidak dinafikan bentuk muka bumi dan serta cuaca turut menjadi faktor,” katanya.

Beliau menambah, kementerian akan mengadakan pertemuan dengan MIROS selepas sambutan Aidilfitri.

Katanya, sebelum ini kajian secara am dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan kali ini lebih spesifik bersama Miros.
Next Post Previous Post