Pusat Giat MARA Spaoh dijangka beroperasi Julai ini, tawar kursus pendawaian dan teknologi bangunan

SPAOH-- Kerajaan akan menaik taraf sebuah bangunan untuk dijadikan Pusat Giat MARA di Spaoh, kata Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau menjelaskan pusat itu nanti akan menyediakan peluang pendidikan kepada belia di kawasan itu khususnya dalam pendawaian elektrik dan teknologi bangunan berasaskan batu-bata.

"Sebuah bangunan yang dinaik taraf di Spaoh bakal dijadikan Pusat Giat MARA bagi menyediakan peluang pendidikan kepada belia di kawasan ini.

"Pusat Giat MARA ini akan memulakan kursus pendawaian elektrik dan teknologi bangunan berasaskan batu-bata," katanya.

Beliau berkata demikan selepas mengadakan lawatan ke tapak projek naik taraf bangunan sebagai Pusat Giat MARA di Spaoh pada Selasa. 

Mengulas lanjut, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, pusat tersebut dijangka mula beroperasi pada Julai 2024.

"Kita telah menilai jumlah yang diperlukan untuk menaik taraf infrastruktur pusat tersebut dan menjangkakan ia mula beroperasi pada Julai 2024," katanya.

Justeru, beliau berharap agar belia-belia setempat dapat memanfaatkan peluang kemudahan latihan yang ditawarkan.

Dalam lawatan itu, beliau bersama pihak agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) turut menyaksikan serah tapak Projek Naik Taraf Jalan Ladang Getah dan Sawit di Kebun Cina Spaoh kepada pihak kontraktor dengan kos berjumlah RM388,000.

Pada hari yang sama, beliau turut menyantuni keluarga yang terlibat dalam kebakaran pada 28 Mac lalu.

"Kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) sentiasa menyediakan bantuan kepada mangsa kebakaran dengan membina rumah baru dengan kos sehingga maksimum RM70,000 dan kini dalam usaha untuk membuat penilaian untuk diluluskan," ujarnya.

Hadir sama Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Roseline Mappng Sabai, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas, Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) Abang Mohamed Abang Turkey, Timbalan Jurutera Bahagian JKR Bahagian Betong Sandra Luna dan Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh Denny Lim.
Next Post Previous Post