Kerajaan Brunei tidak pernah lantik syarikat kendali projek Kereta Api Trans Borneo

BRUNEI— Kerajaan Brunei tidak pernah menawarkan atau pun melantik syarikat tempatan mahu pun dari luar negeri untuk mengendalikan projek Kereta Api Trans Borneo.

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataan berkata, belum ada sebarang perbincangan rasmi diperingkat kerajaan mengenai perkara tersebut mahupun diantara negeri-negeri dan pihak-pihak yang berkepentingan.

“Bagi projek yang berskala sedemikian sudah setentunya memerlukan komitmen di peringkat kerajaan masing-masing terlebih dahulu. 

“Kementerian menasihatkan berhati-hati dalam membuat kesimpulan, perlu mengkaji dan mengesahkan setiap maklumat yang diterima.

“Ini penting bagi mengelak salah faham dan mengekalkan kestabilan dan keharmonian masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman sesawang kementerian itu pada Khamis.

Kementerian itu mengulas projek Kereta Api Trans Borneo yang hangat dibincangkan baru-baru ini termasuk jua di negara-negara jiran melalui pelbagai platform media massa dan media sosial. 

Pada 2 April, Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan Malaysia tidak dimaklumkan mengenai projek itu yang menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

Beliau berkata, projek mega seperti ini hanya sahih sekiranya diumumkan oleh pihak kerajaan. 

Baru-baru ini, Brunergy Utama Sdn Bhd yang berpangkalan di Brunei untuk memulakan projek itu telah menarik perhatian media baru-baru ini dan ia bakal memendekkan masa perjalanan antara Brunei, Sarawak, Kalimantan dan Sabah.

Menurut syarikat itu, projek bernilai US$70 bilion (RM330 bilion) tersebut akan dilaksana dalam dua fasa membabitkan laluan sepanjang lebih 1,600 kilometer dan bakal dilengkapi kereta api berkelajuan tinggi yang mencecah kelajuan sehingga 350 kilometer sejam.
Next Post Previous Post