Jalan sesak, sempit di Telaga Air dijangka selesai

Dr Abdul Rahman bercakap kepada media semasa Program Ziarah dan Santunan Ramadan di Masjid Darul Solihin pada Sabtu. Gambar ihsan UKAS

KUCHING— Masalah jalan sesak di Telaga Air setiap kali hujung minggu dijangka berkurangan menerusi pembinaan dua jalan raya baharu yang dijangka bermula pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, berkata projek pertama melibatkan naik taraf Jalan Temenggong dari simpang Lebuhraya Pehin Sri Haji Adenan Haji Satem (Lebuhraya FAC) ke perkampungan Telaga Air menjadi jalan dua hala (dual carriageway).

“Alhamdulillah, pada tahun lepas, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan bahawa jalan raya dua hala sepanjang 4.6 kilometer (km) akan dibina daripada Lebuhraya Pehin Sri Adenan Satem yang dahulunya dikenali sebagai Jalan FAC, menghala terus ke Telaga Air.

“Kita sedia maklum bahawa jalan dari simpang Lebuhraya FAC masuk ke perkampungan Telaga Air melalui Jalan Temenggong agak sempit.

“Justeru pembinaan jalan raya dua hala ini akan memanfaatkan penduduk tempatan seterusnya mengatasi masalah kesesakan lalu lintas memandangkan kawasan itu sering menjadi tumpuan pengunjung untuk menikmati makanan laut segar dan keindahan alam semula jadi,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian pada Program Ziarah dan Santunan Ramadan di Masjid Darul Solihin di sini pada Sabtu, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Katanya, beliau turut dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengenai projek pembinaan sebatang lagi jalan raya daripada Jalan FAC terus ke Kampung Trombol.

“Saya dimaklumkan kerajaan telah meluluskan projek ini ke Kampung Trombol yang menempatkan tapak pembinaan sebuah universiti baharu oleh Kerajaan Sarawak pada tiga ke empat tahun akan datang,” katanya.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu menambah, sebuah masjid baharu juga akan dibina berhampiran dengan tebingan sungai Telaga Air untuk kemudahan penduduk beragama Islam di kawasan itu.

Pada program anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) ini, seramai 66 orang asnaf dari 11 kampung di Zon Telaga Air telah menerima sumbangan berupa bakul makanan dan wang tunai bernilai RM150.
 
Hadir sama, Yang Dipertua MIS Datu Misnu Taha.
Next Post Previous Post