"Kek kayangan" Kek Lapis Baklava dijual RM650 di Samarahan

KOTA SAMARAHAN-- Suka manisan Turki cetus ihlam seorang pengusaha kek lapis di sini untuk mencuba membuat "kek kayangan" yang berharga mencecah RM650.

Adha Brahim, 36, berasal dari Kampung Pinang berkata, manisan Turki Baklava adalah bahan utama yang digunakan untuk membuat kek lapis tersebut.

"Idea untuk membuat kek lapis Baklava ini tercetus kerana saya amat mengemari manisan Turki ini.

"Dari situlah idea untuk saya membuat kek lapis Baklava ini," katanya ketika ditemui Borneo Network di kedainya, Abg K’ju Cake House, Desa Ilmu di sini hari ini.

Jelas Adha, setiap adunan kek lapis itu memerlukan dua kilogram manisan Baklava.

Mengenai harga kek itu yang mencecah RM650 seloyang, beliau memberitahu ia kerana bahan-bahan yang digunakan adalah premium, yang dijual pada harga yang tinggi.

"Mengapa kek ini dijual pada harga RM650 seloyang adalah kerana bahan-bahan yang kita gunakan adalah premium," katanya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat empat saiz kek lapis Baklava itu yang dijualnya bagi memastikan orang ramai mampu membeli dan merasai kek tersebut.

"Kita ada bite size RM4.50 yang kini dijual hanya RM2.50 sehiris dalam tempoh promosi sehingga esok (7 April).

"Selain itu, saiz setengah loaf RM58, satu loaf RM115, setengah loyang RM330 dan seloyang RM650," jelasnya.

Adha yang sudah mendirikan rumahtangga dan dikurniakan seorang anak berkata, meskipun harga kek itu dikatakan mahal, namun permintaannya agak tinggi.

"Jualan kek ini syukur alhamdulillah agak memberangsangkan. Mungkin kita ada sediakan pelbagai saiz agar orang ramai mampu membelinya," katanya yang sudah membuka perniagaan kek lapis sejak 2017.

Selain itu, Adha memberitahu, di kedainya juga ada menjual pelbagai jenis kek lapis, biskut, pemanis mulut, kek hari jadi, kek batik dan lain-lain.

Untuk makluman, Kedei Abg K’ju Cake House, Desa Ilmu dibuka setiap Isnin hingga Sabtu dari jam 10 pagi hingga 8 malam.
Next Post Previous Post