Tiga maut, lima cedera kemalangan tiga kenderaan di Jalan Kunak Tawau

TAWAU-- Tiga maut lima cedera dalam nahas di Ladang Giram, Jalan Kunak di sini yang melibatkan dua kenderaan dan sebuah motosikal petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 3.20 petang tadi berhubung kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Iswara, pacuan empat roda Isuzu Dmax dan sebuah motosikal.

"Komander Operasi melaporkan terdapat tiga mangsa menaiki kenderaan Proton Iswara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM). 

"Manakala tiga mangsa menaiki kenderaan Isuzu Dmax dan dua mangsa menaiki motosikal dilaporkan mengalami kecederaan telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan Pegawai Perubatan KKM di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, mangsa yang disahkan meninggal dunia terdiri daripada dua lelaki berusia, 41 tahun dan 30-an serta seorang wanita berusia 74 tahun.

Tambahnya, mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital menggunakan Jentera EMRS dan Ambulans. 

"Sementara mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Katanya lagi, setelah memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 4.50 petang.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.
Next Post Previous Post