Tujuh selisih maut, kereta dinaiki jatuh gaung
MIRI-- Tujuh individu berdepan detik hitam apabila kereta jenis Toyota Avanza yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terjatuh ke dalam gaung di Jalan Pan Borneo, Batu Niah dekat sini semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 5.20 petang pada Jumaat.
"Setelah itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dikerah ke lokasi.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza membabitkan tujuh mangsa yang terdiri daripada enam lelaki dan seorang perempuan.
"Kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan dan terjatuh ke dalam gaung," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, semasa pasukan bomba tiba di lokasi, mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam dan dua mangsa lagi sudah di bawa ke Hospital Miri oleh orang awam.
"Seorang mangsa dibawa oleh saudara mangsa sendri ke Hospital Miri yang mana mangsa kemalangan mengalami kecederaan parah," jelasnya.
Menurutnya lagi, pasukan bomba membuat size-up, tiada operasi mengeluarkan mangsa dijalankan kerana tiada mangsa yang tersepit.
"Pasukan bomba memberi rawatan awal ke atas mangsa dengan memakaikan C-Collar dan memangsang anduh pada mangsa.
"Bomba juga membantu memindahkan mangsa ke tempat selamat sementara menunggu ambulans sampai di tempat kejadian.
"Dua mangsa diserah kepada ambulans Klinik Kesihatan Ladang 3 dan semua mangsa sudah diberi perawatan awal sementara menunggu ambulans dari Klinik Kesihatan Batu Niah sampai di lokasi," ujarnya.
Selain itu, katanya pasukan bomba juga membuat pembersihan jalan menggunakan satu aliran salur bantu mula dan air dari pam jentera.
Tegasnya, setelah selesai dan memastikan keadaan selamat pasukan bomba bertolak balik ke balai.