Budak 11 tahun maut, tiga termasuk bayi parah, kemalangan Viva di Jalan Sri Aman-Serian
SRI AMAN-- Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun maut manakala tiga termasuk bayi lelaki parah dalam kemalangan di Jalan Sri Aman-Serian petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 5.32 petang tadi.
"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman digerakkan ke lokasi.
"Kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan Perodua Viva yang dinaiki enam mangsa.
"Seorang daripada mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserah kepada pihak polis yang berada dilokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Manakala tiga mangsa yang parah iaitu seorang lelaki, seorang wanita dan seorang bayi lelaki dibawa pihak ambulan Pantu dan ambulan Sri Aman ke Hospital Sri Aman sebelum ketibaan pihak bomba.
"Dua lagi mangsa masih berada di lokasi mengalami cedera ringan dan berikutan itu bomba memberi rawatan awal kepada mangsa yang masih berada di lokasi kejadian.
"Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sri Aman untuk mendapatkan rawatan selanjutnya," ujarnya.
Tambahnya setelah memastikan keadaan selamat kepada pengguna jalan raya yang lain, pihak bomba bertolak balik ke balai bersama anggota keluaran.