Seludup dalam bungkusan makanan haiwan, 24.4kg syabu dirampas

KUCHING-- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya mematahkan cubaan membawa masuk dadah jenis Methamphetamine seberat 24.4 kilogram yang dianggarkan bernilai RM872,000 ke Kuching yang berselindung disebalik bungkusan makanan haiwan.

Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata, pada 22 Mac lalu, Cawangan Narkotik JKDM Sarawak telah menyita dua bungkusan yang dikirim melalui perkhidmatan kurier disyaki mengandungi dadah berbahaya.

"Dua bungkusan disyaki mengandungi dadah berbahaya tersebut telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 18 Mac 2024. 

"Berdasarkan kepada shipment note tesebut, bungkusan itu dihantar dari Shah Alam, Selangor kepada seorang wanita yang beralamat di sebuah apartment di Taman Stapok, Kuching," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, bungkusan tersebut dihantar ke Kuching menggunakan akaun perniagaan atas talian terkemuka melalui route Shah Alam – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur – Lapangan Antarabangsa Kuching – Kuching.

Susulan itu, katanya, sepasukan pegawai dari Cawangan Narkotik JKDM Sarawak telah melakukan pemantauan dan pemerhatian ke atas penghantaran dua bungkusan berkenaan yang dikendalikan oleh syarikat kurier tetapi penerima enggan menerima bungkusan di lokasi alamat yang tertera pada shipment note dan sebaliknya meminta untuk membuat tuntutan melalui kaunter syarikat kurier berkenaan. 

"Intipan dan penyamaran telah dilakukan selama empat hari di kaunter syarikat kurier namun tiada individu yang tampil untuk membuat tuntutan. 

"Bungkusan tersebut telah disita oleh Cawangan Narkotik JKDM Sarawak pada 22 Mac 2024.

"Hasil pemeriksaan rapi ke atas dua bungkusan tersebut telah membawa kepada penemuan sejumlah 24,400 gram ketulan kristal yang disyaki dadah jenis Methamphetamine atau syabu dengan nilai pasaran lebih kurang RM872,000 yang dibungkus dengan plastik lutsinar dan dimasukkan ke dalam bungkusan makanan haiwan," jelasnya.

Tegas Norizan, berikutan itu Cawangan Narkotik JKDM Sarawak telah menggerakkan usaha untuk mengesan individu yang berkaitan dengan rampasan tersebut dengan berpandukan kepada maklumat yang diperolehi dari pengendali perkhidmatan kurier, penyedia perkhidmatan atas talian, rekod telekomunikasi dan rekod perbankan individu-individu berkaitan. 

Mengulas tentang modus operandi beliau memberitahu bagi kes ini adalah membawa masuk bahan narkotik dari Wilayah Semenanjung Malaysia ke Wilayah Sarawak melalui perkhidmatan kurierdan diletakkan di dalam bungkusan makanan haiwan bagi mengaburi pihak berkuasa serta menggunakan alamat pangsapuri yang dilengkapi dengan kawalan keselamatan sebagai alamat penerimaan.

"Berdasarkan jumlah berat dadah sebanyak 24,400 gram yang diperolehi, dianggarkan seramai lebih 120,000 orangdapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah," ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

"Seseorang yang ditangkap dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya boleh dihukum dengan penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman yang diberikan oleh mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah juga disebat tidak kurang 15 sebatan," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi tempoh Januari hingga 22 Mac 2024, JKDM Sarawak telah merekodkan rampasan pelbagai jenis dadah sebanyak 138.7 kilogram yang dianggarkan bernilai RM4,370,467.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan dadah dan barangan yang lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
Next Post Previous Post