Henti daftar PADU: Keselamatan data rakyat diutamakan- Abang Johari

KOTA SAMARAHAN-- Elak data peribadi rakyat daripada sebarang pencerobohan adalah sebab kerajaan Sarawak menghentikan sementara pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Malah, pindaan ke atas Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010 perlu dibuat bagi mencegah dan melindungi data peribadi orang awam kepada bahaya pelanggaran data, kebocoran dan penipuan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak amat menitik berat langkah untuk melindungi rakyat di negeri ini daripada sebarang pencerobohan data peribadi.

Tegasnya, langkah Sarawak memberhentikan pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) adalah atas desakan ramai. 

"Mereka yang berada dalam kategori tersebut hendaklah diberi bantuan, namun terdapat kebimbangan di kalangan rakyat mengenai pendaftaran PADU," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Nuzul Al Quran Peringkat Negeri sarawak di Masjid Al Muttaqin Samarahan di sini pada malam Rabu. 

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi. 

Sebelum ini, kerajaan Sarawak dilaporkan meminta penjelasan daripada Kementerian Ekonomi berhubung tahap keselamatan dan protokol PADU bagi menyokong inisiatif Kerajaan Persekutuan itu.

Sementara itu, Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek menggesa pelaksanaan PADU ditangguh sehingga pindaan dibuat ke atas APDP 2010.

Beliau menjelaskan pelaksanaan PADU sebelum pindaan dibuat ke atas akta itu akan mendedahkan orang awam kepada bahaya pelanggaran data, kebocoran dan penipuan.

"Ketika ini Seksyen 3(1) APDP mengecualikan kerajaan daripada penguatkuasaannya dan ini bermakna data yang dikumpul PADU boleh disebarkan atau digunakan oleh kerajaan di luar tujuan yang diisytiharkan sebagai subsidi bersasar.

"Terdapat kes penyalahgunaan data oleh kerajaan sebelum ini, apabila data peribadi digunakan untuk menyebarkan propaganda menerusi SMS kepada orang awam.

"Tindakan menggunakan data yang dikumpul bagi sebarang tujuan politik akan menghilangkan kepercayaan rakyat," katanya.

Gambar Kredit UKAS
Next Post Previous Post