Dua beranak diragut, Polis Miri kini giat buru suspek

MIRI-- Polis Miri kini giat memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes ragut melibatkan mangsa dua beranak yang dilaporkan berlaku berhampiran Gereja ST Joseph di sini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian ragut itu sekitar jsm 11.42 pagi Rabu.

"Mangsa seorang wanita warga tempatan bersama anaknya telah didatangi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali semasa mereka sedang menuju ke arah keretanya yang diletakkan di tepi jalan berhampiran Gereja St Joseph Miri.

"Dalam kejadian tersebut, suspek yang menggunakan sebuah motosikal berwarna hitam kuning telah mengacukan pisau ke arah mangsa dan meminta mangsa menyerahkan beg sandang yang sedang dipegang oleh mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Alexson, dalam kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di kening, hidung dan luka di jari.

"Manakala anak mangsa yang berumur 17 tahun turut mengalami kecederaan di pipi akibat daripada berlakunya sedikit pergelutan di antara mangsa dan suspek," tambahnya.

Ekoran kejadian tersebut, tegasnya Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri telah melancarkan OP Kesan untuk mengesan suspek yang terlibat dalam kes ini. 

"Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun, denda atau sebat," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat tempatan. 

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan perlakuan ini, silalah tampil ke Balai Polis yang berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat kami iaitu Inspektor Mohd Rayhan Albert di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan. 

"Pihak PDRM amat menghargai keprihatinan masyarakat dalam membantu menyalurkan maklumat serta menjaga kesejahteraan dan keamanan bersama," ujarnya.
Next Post Previous Post