Rakaman video didakwa kes rompak di Vista Perdana adalah kes di Hilltop Utama

MIRI-- Rakaman video yang tular, didakwa kes rompakan melibatkan sebuah rumah di Vista Perdana Permy Lorong 4H, Jalan Berlian adalah video kes yang telah dilaporkan berlaku di Hilltop Utama pada 20 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, tiada kejadian jenayah dilaporkan di kawasan Vista Perdana setakat ini seperti mana dinyatakan dalam hantaran video tersebut.

"Hasil semakan mendapati rakaman video yang diviralkan merupakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kes yang telah dilaporkan di Hilltop Utama pada 20 Mac 2024 di mana kes ini masih disiasat oleh pihak polis. 

"Tiada apa-apa kejadian jenayah juga yang dilaporkan di kawasan Vista Perdana setakat ini seperti mana dinyatakan dalam mesej tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau terdahulu mengesahkan telah menerima rakaman video bersama mesej berbunyi: "Vista Perdana Permy Lorong 4H Jalan Berlian.. Morning Neigbours, This morning there's a house robbery at 1L 8233 and the thief used machetes /tied up the house Owner around 3.45 am. The robbery pass thru my house and by pass."

Jelasnya, mesej dan video itu didapati tular di dalam media sosial.

Sehubungan itu, Alexson menasihati masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan isu-isu yang belum disemak kesahihan di media sosial.

"Ia boleh menimbulkan kerisauan dan kegusaran di kalangan masyarakat tempatan. 

"Selain itu, masyarakat juga diminta untuk sentiasa peka dengan persekitaran masing-masing serta meningkatkan sistem kawalan keselamatan di kediaman seperti pemasangan CCTV ataupun sistem alat penggera," ujarnya.

Tambahnya lagi, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan perlakuan ini agar tampil ke Balai Polis yang berdekatan atau menghubungi di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan. 

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat menghargai keprihatinan masyarakat terhadap keselamatan dan persekitaran di daerah Miri," ujarnya.
Next Post Previous Post