Sarawak bentang perancangan pembekalan elektrik, Fadillah
PUTRAJAYA —Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan komited bekal elektrik pada harga berpatutan di Borneo.
Beliau berkata, kerajaan persekutuan menyerahkan sepenuhnya kuasa kawal selia pembekalan elektrik kepada kedua-dua negeri.
“Kerajaan komited untuk memastikan sumber tenaga elektrik negara dapat dibekalkan dengan mencukupi (security), secara lestari (sustainable) dan pada kadar harga yang mampu ditanggung oleh pengguna (affordable).
“Walau bagaimanapun, Sarawak dan Sabah akan membentangkan perancangan pembekalan tenaga elektrik Sarawak dan Sabah dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan,Pelaksanaan dan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET),” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata demikian dalam ucapan Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Tahun 2024, Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-15, pagi ini.
Katanya, bermula pada 3 Januari 2024, Kerajaan Persekutuan telah menyerahkan sepenuhnya kuasa kawal selia pembekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah meliputi perancangan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik, perolehan, pemantauan dan penyeliaan projek serta penyelesaian isu-isu berkaitan pembekalan elektrik Sabah.
Beliau berkata, manakala perancangan pembekalan tenaga elektrik di Sarawak adalah di bawah kawal selia Kerajaan Negeri Sarawak selaras dengan penggantungan pemakaian keseluruhan Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] di Negeri Sarawak berkuatkuasa dari 1 September 1990.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata JPPPET ini dipengerusikan oleh Menteri yang bertanggungjawab dalam pembekalan elektrik negara dan dilaksanakan sekurang-kurangnya satu kali dalam tempoh setahun bagi menentukan perancangan pembekalan tenaga elektrik serta hala tuju industri bekalan elektrik negara
Di peringkat Kementerian, JPPPET telah ditubuhkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Mac 2007.
“Kerajaan Persekutuan sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya terdapat keperluan dari aspek teknikal,” katanya.
Sementara itu, Fadillah turut menjawab semua persoalan yang diutarakan melibatkan lebih kurang 45 isu berkaitan banjir dan saliran, bekalan air dan pembetungan, bekalan elektrik, tenaga lestari dan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.
“Memang tidak dapat dinafikan bahawa cabaran di PETRA amat besar dan memerlukan kepada pengemblengan tenaga, idea dan buah fikiran semua pihak untuk mengatasinya.
Oleh itu, saya menggesa semua pihak untuk terus bersatu memberi perhatian dan cadangan kepada PETRA bagi menjayakan sasaran peralihan tenaga negara dan aspirasi Kerajaan untuk mentransformasikan sektor air negara,” katanya.