10 tuntutan asas MA63 selesai sepenuhnya, Fadillah

PUTRAJAYA— Sepuluh perkara atau tuntutan asas berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan sepenuhnya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, Kerajaan persekutuan komited untuk menyegerakan penyelesaian kepada semua tuntutan mengenai MA63, bagaimanapun tempoh masa bagi penyelesaian setiap perkara atau tuntutan adalah tertakluk kepada proses perundangan yang berkaitan.

Berikut 10 perkara atau tuntutan asas yang selesai sepenuhnya:

1) Penyerahan Kuasa Kawal Selia LPG kepada Kerajaan Negeri Sarawak;

2) Penyerahan semula kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Negeri Sabah;

3) Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan;

4) Pemberian kuasa (empowerment) mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak;

5) Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sabah dan Negeri Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182);

6) Pindaan Akta LHDN 1995 bagi melantik Wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak Sebagai Anggota Tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri;

7) Penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Negeri Sabah;

8) Pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak;

9) Penyediaan Garis Panduan Penyerahan Semula Tanah Direzabkan bagi maksud Persekutuan di Negeri Sabah dan Negeri Sarawak; 

10) Penyerahan Kuasa Kawal Selia Elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, satu tuntutan asas membabitkan kajian semula pemberian khas bagi Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D (RM300 juta) telah selesai sebahagian atau interim, manakala tiga tuntutan mempunyai keputusan dasar iaitu membabitkan pemberian kuasa mengenai alam sekitar, tenaga buruh di Sabah dan Sarawak serta kuasa mengenai pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman (Pindaan Perlembagaan Persekutuan).

“Sementara itu 15 tuntutan antaranya royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; pertambahan perjawatan perkhidmatan awam, pembangunan sempadan Sabah - Sarawak - Kalimantan; pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Negeri Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat dan hak negeri ke atas pelantar benua masih dalam perbincangan,” katanya.

Fadillah berkata demikian dalam ucapan Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Tahun 2024, Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-15, pagi ini. 

Beliau menjawab soalan berkaitan Perjanjian MA63 yang dibangkitkan oleh YB Tuaran, YB Keningau, YB Putatan, YB Puncak Borneo, YB Batang Lupar, YB Kinabatangan, YB Ranau dan YB Kalabakan.

Katanya, kerajaan Persekutuan akan terus komited dalam memastikan perkara-perkara yang termaktub dalam MA63 untuk diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka undang-undang sedia ada.

“Untuk makluman Yang Berhormat, perkara berhubung pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman merupakan salah satu ptuntutan asas MA63 yang dibincangkan dalam platform perundingan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan Jawatankuasa Teknikal di bawah
MTPMA63 yang dipengerusikan oleh saya sendiri.

“Perkara 122AB memperuntukkan kuasa melantik Pesuruhjaya Kehakiman tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.

“Proses pelantikan yang diamalkan pada masa ini merangkumi rujukan dan persetujuan daripada Tuan Yang Terutama Yang di- Pertua Negeri sebelum pelantikan dilaksanakan.

“Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menginstitusikan amalan tersebut sedang dalam perbincangan
dan penelitian Kerajaan,” kata Fadillah.

Beliau menambah, tuntutan asas MA63 ini akan terus dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 dan MTPMA sehingga penyelesaian yang memuaskan hati semua pihak terlibat telah dicapai.

Selain itu, tahap kesediaan Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak dari sudut operasi, sumber manusia, kewangan juga merupakan aspek yang perlu diambil kira sebelum suatu tuntutan asas MA63 dapat diselesaikan.
Next Post Previous Post