Samseng Jalanan: Pemuda buat 'wheelie' ditangkap, 145 saman dikeluarkan

KUCHING-- Seorang pemuda buat aksi "wheelie" ditahan dan sebanyak 145 saman pelbagai dikeluarkan sepanjang Op Bersepadu (Samseng Jalanan) bagi tempoh 8 hingga 5 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, operasi itu diadakan dari jam 9 malam hingga 5 pagi sepanjang tempoh tersebut diadakan di kawasan Masja, Jalan Astana, Jalan Datuk Patinggi Tun Abang Haji Muhammad Salahuddin dan Jalan Datuk Patinggi Tun Abdul Rahman Yaakob.

"Seorang lelaki tempatan berumur 21 tahun telah ditahan di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakob kerana melakukan aksi ‘wheelie’ (mengangkat tayar hadapan motosikal) dengan cara  membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Merbin, sebanyak 21 motosikal mempunyai pelbagai kesalahan telah disita di bawah Seksyen 60 (1) APJ 1987.

"Sepanjang operasi dijalankan sebanyak 145 saman pelbagai kesalahan telah dikeluarkan. 

"Antara kesalahan yang tertinggi adalah tiada cermin sisi (34 saman), nombor pendaftaran tidak ikut peraturan (26 saman), ubahsuai struktur / peralatan kenderaan (20 saman), ubahsuai ekzos (18 saman), tiada lesen memandu (15 saman) serta pelbagai kesalahan lalulintas yang lain," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu sebanyak 190 motosikal dan 215 orang telah diperiksa.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan terus melaksanakan pemeriksaan berterusan bagi mengesan pemandu atau penunggang yang melakukan kesalahan lalu lintas dalam usaha untuk membendung gejala ‘samseng jalanan’ dan mengurangan kadar kemalangan khususnya di daerah Kuching," ujarnya.

Justeru, beliau menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati - hati dan mematuhi peraturan jalanraya yang telah ditetapkan demi memastikan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain agar perkara yang tidak diingini berlaku.

"IPD Kuching mengalu-alukan sebarang maklumat orang awam dan boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching ditalian 082-259900 atau di balai–balai berdekatan," tambahnya.
Next Post Previous Post