Pan Borneo Sabah : 15 pakej telah siap 88 peratus

KUALA LUMPUR-- Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan sebanyak 300 syarikat telah memohon untuk menyertai tender bagi Pakej 1B Fasa Satu Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Memetik laporan Bernama yang disiarkan Daily Express, beliau menjelaskan pakej 1B Fasa Satu itu melibatkan 15 pakej kerja.

"Proses tender prakelayakan telah ditutup baru-baru ini dan dijangka mengambil masa sebulan untuk menyenarai pendek syarikat sebelum dibawa ke lembaga tender.," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Maslan memberitahu, tender untuk 15 pakej Fasa 1B bukan hanya untuk Sabah tapi untuk seluruh rakyat Malaysia dan tidak akan dibuka kepada kontraktor luar negara. 

“Kita perlu memastikan mereka memenuhi tiga syarat iaitu berapa banyak kerja dalam tangan mereka ketika ini, pengalaman dan kekukuhan kewangan syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berhubung tindakan kerajaan terhadap syarikat yang gagal menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Tegasnya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak syarikat sekiranya mereka gagal untuk menyiapkan projek mengikut tempoh masa berkenaan. 

Tambahnya, setakat ini Pakej 1A Projek Lebuhraya Pan Borneo yang melibatkan 15 pakej telah siap 88 peratus dengan kesemua syarikat kontraktor berasal dari Sabah.
Next Post Previous Post