Persekutuan, Sarawak meterai MoU penukaran status Pelabuhan Bintulu

KUALA LUMPUR— Kerajaan Persekutuan dan Sarawak menjalin kerjasama bagi memudahkan proses penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri menjelang akhir tahun ini.

Untuk tujuan itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) Berkaitan Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri Sarawak ditandatangani antara Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Sarawak  di sini hari ini.

Mewakili Kerajaan Persekutuan dalam MoU itu ialah Menterinya Anthony Loke manakala Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak.

Hadir sama menyaksikan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadlilah Yusof, Premier Sarawak Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Uggah berkata, Sarawak yakin MoU ini dapat mengukuhkan komitmen dan mewujudkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam usaha penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri dan memastikan tempoh peralihan tersebut dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

“Pada masa ini, Pelabuhan Bintulu adalah sebuah pelabuhan persekutuan yang dikawal selia di bawah Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981. 

“Dengan pertukaran status ini, Pelabuhan Bintulu akan menjadi pelabuhan negeri di bawah kuasa perundangan Negeri berdasarkan Perkara 15 dalam Senarai IIA, Jadual Sembilan dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya berucap pada majlis menandatangani MoU hari ini.

Tambahnya, MoU ini menggariskan persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bagi penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri.

“Kerajaan Sarawak nekad dengan hasrat untuk menyepadukan plan pembangunan Pelabuhan Bintulu dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak (PCDS) 2030 yang bertujuan untuk meningkatkan perdagangan, kesalinghubungan dengan hab perkapalan serantau dan global serta menyegerakan pembangunan pelabuhan di Sarawak sejajar dengan peluasan kawasan hinterland,” kata Uggah.

Katanya, antara langkah yang telah diambil untuk memastikan perlaksanaan yang berkesan dan lancar, tiga Jawatankuasa telah ditubuhkan, iaitu, Jawatankuasa Khas, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal.

Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pengangkutan Malaysia dan Timbalan Premier Sarawak, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak akan —
i. memastikan pelaksanaan MoU ini berjalan lancar dan berkesan bagi kedua-dua pihak;
ii. mengenal pasti dan mengambil langkah-langkah bersesuai yang memberi impak menurut niat kedua-dua pihak;
iii. mewujudkan situasi yang memudahkan kedua-dua pihak dalam melaksanakan MoU ini; dan
iv. Menyelia dan membantu proses rundingan dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Jawatankuasa Khas ini akan dibantu oleh Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal, yang terdiri daripada wakil-wakil Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk memastikan pelaksanaan yang berkesan.
 
Sementara itu Anthony Loke berkata, MoU itu adalah susulan daripada lawatan saya ke Sarawak pada 8 Januari 2024 di mana antara perkara yang dibincangkan adalah merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu yang pada masa ini adalah di bawah pengawalseliaan Kerajaan Persekutuan.
 
Katanya, dalam pertemuan tersebut, persetujuan telah tercapai antara MIPD dan MOT agar satu MOU ditandatangani untuk melancarkan proses pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

“Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri mengambil berat dalam tegakkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan melaksanakan perkara-perkara yang terkandung dalamnya.
 
“Dalam pembentangan Belanjawan 2024, YAB Perdana Menteri secara jelas telah menyokong hasrat Kerajaan Negeri Sarawak untuk menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan negeri bagi melengkapkan ekosistem ekonomi Sarawak.

 “Gerak kerja melibatkan pelbagai pemegang taruh untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Sarawak sedang berjalan. MOU yang ditandatangan pada hari ini bertujuan menzahirkan komitmen Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam menyiapkan proses ini,” katanya.
 
Beliau berterima kasih kepada pegawai-pegawai MOT, MIPD dan semua pemegang taruh yang berusaha dalam memperincikan dan mengoperasikan proses pemindahan Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dengan sasaran separuh kedua tahun ini.
Next Post Previous Post