Isi PADU, “kita umpama membogelkan diri,” kata Karim

KUCHING— Tindakan kerajaan mewajibkan rakyat mengisi borang Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) umpama ‘membogelkan diri’ diri, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Sekiranya kerajaan mahu membantu golongan miskin, biarkan mereka mengisi borang PADU. 

“Namun mewajibkan semua lapisan masyarakat mengisi PADU tidak wajar kerana ia hanya mendedahkan semua butiran peribadi seseorang, termasuk akaun bank dan pelaburan.

"Saya tidak fikir itu cara yang betul untuk melayan rakyat. Kita semua mempunyai hak untuk privasi," katanya.

Beliau berkata demikian selepa melancarkan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia Ke-27 di sini hari ini.

Abdul Karim berkata, kerajaan Sarawak mempunyai keraguan tentang jumlah maklumat peribadi yang diperlukan oleh PADU.

Sebelum ini katanya, perkara itu telah dibincangkan dalam Kabinet negeri dengan tujuan meminta beberapa perubahan untuk Sarawak.

“Kami tidak mengatakan kami tidak menyokong. Jika ia berniat baik, sudah tentu kami akan menyokong Padu.

Beliau juga mempersoalkan keperluan Padu kerana sudah ada sistem sedia ada seperti eKasih untuk mengenal pasti dan membantu golongan miskin.

Harian Metro pada 22 Mac melaporkan individu yang tidak mengemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) berkemungkinan akan tertinggal daripada menerima bantuan dan subsidi kerajaan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, walaupun pendaftaran Padu ketika ini masih belum diwajibkan, namun ia digalakkan kepada semua rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, kerajaan masih mempunyai alternatif lain yang boleh digunakan melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai agensi sektor awam.

Mengulas lanjut, Hanifah berkata, sehingga 12 Mac 2024, Padu sudah mengintegrasikan 314 set data pelbagai agensi yang menjadi asas untuk membentuk profil individu yang komprehensif.

Katanya, ia termasuk maklumat 8.6 juta pemohon Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk golongan B40.

Katanya, sehingga 19 Mac 2024, hampir 6.03 juta atau 27.4 peratus warganegara dan penduduk tetap di Malaysia sudah mendaftar Padu.

Menurutnya, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi pendaftaran dan mengemaskini Padu terutama untuk rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Terdahulu, Pejabat Residen Bahagian Sri Aman dan Sibu dalam memorandum rasmi bertarikh 22 Mac mengeluarkan arahan pemberhentian PADU sehingga dimaklumkan kelak.

“Sehubungan itu, mohon dipanjangkan arahan ini kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum dan Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah seliaan.

Turut tular tangkap layar mesej Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom yang melarang rakyat Sarawak mengisi borang PADU.

“JIka ada yang meminta anda mengisi borang PADU secara manual atau online, jangan isi. Kerajaan Sarawak tidak bersetuju,” katanya dalam mesej tersebut.
Next Post Previous Post