Usah risau daftar PADU, kata Senator Abun

KUCHING-- Senator Dewan Negara Abun Sui Anyit berharap rakyat Malaysia terutama di Sarawak tidak merasa takut untuk mengisi Pangkalan Data Utama (PADU).

Beliau dalam satu kenyataan berkata demikian bagi merujuk kepada Pekeliling oleh Residen Sri Aman bertarikh 21 Mac 2024 yang meminta Jabatan dan pihak berkaitan di negeri ini diarahkan supaya tidak mendaftar maklumat di PADU buat masa ini sehingga dimaklumkan kelak.

"Saya berharap mana-mana rakyat Malaysia terutama di Sarawak tidak merasa takut untuk mengisi PADU.

"Kita tidak mahu kemudian hari apabila rakyat yang layak tidak mendapat bantuan kerajaan tercicir kerana tidak mengemas kini maklumat di dalam PADU.

"Kita tidak bermaksud memaksa atau menggertak.

"Justeru saya menyeru rakyat Sarawak terutamanya yang dalam golongan B40 tidak takut mengemaskini maklumat anda dalam PADU," katanya 

Tambahnya, beliau sendiri sudah mengemaskini maklumat dalam PADU sejak Januari 2024.

"Jangan menyalahkan Kerajaan Persekutuan suatu hari nanti apabila tidak mendapat apa-apa bantuan Kerajaan Persekutuan," tegasnya.

Abun memberitahu, beliau berpendapat maklumat rakyat tidak akan disalahguna oleh kerajaan.

"Maklumat ini sangat berguna untuk membantu kerana jika anda layak menerima bantuan kerajaan menurut maklumat PADU, maka anda pasti mendapatkan bantuan tersebut," ujarnya.

Terdahulu, tular satu surat Pekeliling yang meminta Jabatan dan pihak berkaitan di negeri ini diarahkan supaya tidak mendaftar maklumat di PADU buat masa ini sehingga dimaklumkan kelak.

Arahan itu dikeluarkan semalam untuk semua kementerian dan jabatan di negeri ini selain pejabat Residen dan turut dipanjangkan oleh Residen Bahagian masing-masing kepada ketua masyarakat dan ketua kaum serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Arahan yang berkuatkuasa serta merta itu, bagaimanapun tidak memberitahu alasan berbuat demikian.

PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu dan pendaftarannya dibuka sehingga 31 Mac 2024 bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Semua rakyat berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU iaitu https://padu.gov.my/.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu bahawa kerajaan Sarawak mengakui ragu terhadap sistem PADU dan menyifatkannya seperti ‘membogelkan’ maklumat peribadi setiap orang.

Katanya, PADU mengambil setiap maklumat peribadi untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data itu.

“Setiap maklumat adalah sulit tetapi (PADU) mahukan hal peribadi seperti nombor bank, nombor akaun simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB), maklumat rumah serta keluarga dan macam-macam lagi perlu diberikan kepada pangkalan data tersebut. 

“Alasan untuk menggesa rakyat mengisi PADU untuk memudahkan pengagihan bantuan adalah tidak munasabah," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini. 

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa kerajaan Sarawak meminta agar sistem PADU ini diubahsuai seperti yang telah dibincangkan pada mesyuarat Kabinet Sarawak sebelum ini. 
Next Post Previous Post