Pelabuhan Bintulu akan diperbesar tampung industri baharu

PUTRAJAYA— Kapasiti Pelabuhan Bintulu akan diperbesar bagi menampung keperluan industri baharu seperti hidrogen yang sedang dibangunkan di bandar itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kapasiti pelabuhan itu akan ditambah selepas pengambilalihan yang dijangka selesai penghujung tahun ini.  

“Ini akan memberikan impak kepada pembangunan ekonomi yang sedang berjalan di Sarawak dan pembangunan Malaysia keseluruhannya sebab kita adalah pengeksport banyak bahan sumber,” katanya. 

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini. 

Hadir sama menyaksikan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadlilah Yusof

Premier menambah, kerajaan Sarawak juga akan menubuhkan Lembaga Pelabuhan Pusat bagi menguruskan semua pelabuhan di negeri ini iaitu di Kuching, Miri, Tanjung Manis dan Sibu.

“Semua kita akan urus dengan Pelabuhan Bintulu di bawah satu bumbung. 

“Semua sumber-sumber di negeri ini akan dapat diselaraskan ke pelabuhan-pelabuhan strategik termasuk di Pelabuhan Bintulu kelak,” katanya.

Katanya, di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 sedang kerajaan membangunkan industri tenaga boleh baharu dan sudah tentu semua pelabuhan-pelabuhan ini akan memainkan peranan.

Beliau berharap ini akan dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih untuk Bintulu dan Sarawak 

Abang Johari turut berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana memberikan kerjasama baik dalam melancarkan proses proses penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan dan Sarawak memeterai MoU Berkaitan Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri Sarawak ditandatangani antara Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Sarawak

Mewakili Kerajaan Persekutuan dalam MoU itu ialah Menterinya Anthony Loke manakala Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak.

Proses penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada Pelabuhan Negeri Sarawak dijangka selesai tahun ini dan keseluruhan operasi pelabuhan tersebut akan diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri menjelang 2025.
Next Post Previous Post