Buat hantaran jelik berkaitan kalimah Allah, lelaki kena 6 bulan penjara, denda RM12,000

KUALA LUMPUR-- Padah membuat hantaran bersifat jelik berkaitan kalimah Allah, seorang lelaki dipenjara enam bulan dan denda RM12,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Chiok Wai Loong, 34, mengaku bersalah atas tuduhan itu mendakwa hanya menjadi ‘ keyboard warrior’ dan tidak mengetahui kalimah ‘Allah’ yang ditulis menghina agama Islam.

Dalam rayuannya berkata, dia tidak sengaja dan hanya mahu menjadi ‘ keyboard warrior’ serta tidak mengetahui perkataan itu sensitif kepada orang lain.

Justeru, dia memohon supaya tidak dipenjara kerana tidak mahu kehilangan kerja.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh memohon hukuman berat, setimpal dan menjadi pengajaran kepada masyarakat di luar sana.

Jelas beliau sebanyak 24 laporan polis dibuat orang ramai berhubung isu ini yang menunjukkan keseriusan hantaran yang dibuat bersifat sensitif kepada penganut agama Islam.

Media sebelum ini melaporkan lelaki itu terbabit tampil memohon maaf secara terbuka selepas didakwa menambahkan ketegangan dalam isu penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka itu.

Chiok membuat permohonan itu dengan dikelilingi sekumpulan lelaki yang mencarinya kerana tidak berpuas hati dengan komennya.

Lelaki itu mencetuskan kemarahan pengguna maya selepas didakwa mengeluarkan komen meminta orang ramai tidak terlalu sensitif dengan isu itu.

Dia malah didakwa cuba membuat lawak dengan memuat naik gambar stoking dengan wajahnya sendiri.
Next Post Previous Post