Kastam patahkan cubaan seludup 26.52kg syabu di Sibu

SIBU-- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu, Sarawak telah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk dadah jenis Methamphetamine seberat 26.52 kilogram dianggarkan bernilai RM875,160.

Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata, kes pertama pada 13 Mac lalu sekitar jam 11.55 pagi apabila sepasukan Pegawai Kastam dari Unit Pemeriksaan Penumpang (UPP), Lapangan Terbang Sibu dengan kerjasama Cawangan Penguatkuasaan Sibu telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an yang tiba di Lapangan Terbang Sibu. 

"Lelaki berkenaan ditahan oleh pihak Kastam sebaik sahaja imej imbasan ke atas kotak yang dibawa menunjukan tanda positif bahan narkotik. 

"Pemeriksaan lanjut keatas kotak tersebut, membawa kepada penemuan sejumlah 13 bungkusan yang mengandungi serbuk kristal yang disyaki dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 13.26 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan bernilai RM437,580.00," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan disyaki sebagai keldai dadah yang bertanggungjawab untuk membawa masuk dadah berkenaan ke Sarawak. 

"Mahkamah Majistret Sibu telah mengeluarkan perintah reman selama enam hari bermula 14 Mac 2024 ke atas lelaki tersebut bagi tujuan siasatan," tegasnya.

Kes kedua pula, Norizan berkata pada 14 Mac 2024 jam lebih kurang 12.00 tengah hari, JKDM Sibu telah menyita sebuah kotak yang tidak dituntut di Lapangan Terbang Sibu.

Jelasnya, pemeriksaan awal oleh Unit Pemeriksaan Penumpang (UPP), Lapangan Terbang Sibu ke atas kotak yang ditinggalkan tersebut didapati menunjukan tanda positif bahan narkotik. 

"Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan oleh pasukan Cawangan Penguatkuasaan Sibu telah menemukan sejumlah 13 bungkusan disyaki dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 13.26 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan bernilai RM437,580.00.

"Cawangan Penguatkuasaan Sibu sedang berusaha untuk mengesan individu yang meninggalkan kotak berkenaan di Lapangan Terbang Sibu," katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi bagi kes ini adalah membawa masuk bahan narkotik dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak secara transit dan diletakan di dalam kotak bersama makanan ringan bagi mengaburi pihak berkuasa. 

"Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, rampasan ini telah berjaya membanteras daripada diedarkan kepada 132,600 orang penagih dadah," ujarnya.

Dalam pada itu, Norizan menjelaskan bagi tempoh Januari hingga 19 Mac 2024, JKDM Sibu telah merekodkan rampasan dadah jenis Methamphetamine sebanyak 41.95 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1,384,350.00 di Lapangan Terbang Sibu.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai untuk terus membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan dadah dan barangan yang lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. 

Tegasnya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. 

"JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan
menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. 

"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," ujarnya.
Next Post Previous Post