Tapak projek penyambungan paip air di Suai jadi sasaran pencuri

SUAI— Masalah kecurian skru dan peralatan projek penyambungan paip air yang berleluasa di Jalan Pesisir Pantai berdekatan Suai menyebabkan perlaksanaan projek itu terganggu.

Tindakan individu yang tidak 
bertanggungjawab itu menyebabkan projek itu berisiko tidak dapat disiapkan mengikut jadual dan menjejaskan penduduk tempatan di Suai dan Batu Niah yang memerlukan bekalan air bersih.

Kegiatan itu juga menyebabkan kerugian kepada kontraktor kerana perlu membeli semula peralatan dan aksesori yang hilang.

Penyelia projek, Elvis Senin berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak 2022 dan menyusahkan mereka melaksanakan projek itu.

“Kawasan Suai paling teruk terjejas menjadi sasaran pencuri. Bukan hanya skru dan aksesori, malah generator dan bateri jengkaut pun dikebas. 

“Kami terpaksa menggantikan skru dan peralatan yang lain berulang kali namun tetap hilang selepas dipasang. 

“Sebagai contoh, banyak paip air tinggal lubang kerana skru sudah dicuri. Ketiadaan skru ini menyebabkan paip tersebut berisiko pecah jika tekanan air tinggi,” katanya ketika dihubungi Borneo Network.

Elvis menambah, kegiatan itu semakin berleluasa dan pihaknya berharap penduduk tempatan dan pihak polis Batu Niah bekerjasama melakukan rondaan bagi mengawal kes kecurian.

“Ketua kampung yang berdekatan projek ini harus menasihatkan budak-budak supaya tidak mencuri barang, kerana ia adalah kemudahan penduduk tempatan juga.

“Macam mana mahu siap kalau hari hari kena curi, nanti projek tertangguh pandai juga bising tiada air,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama penduduk tempatan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa amat dihargai untuk memastikan individu terbabit diambil tindakan.
Next Post Previous Post