Penduduk kecewa tuai rumah bersubahat dengan syarikat balak tanah NCR

Surat sokongan pembaharuan lesen balak di tanah NCR di Sungai Matop, Julau yang didakwa ditandatangani tuai-tuai rumah.

JULAU— Penduduk rumah panjang di kawasan Sungai Matop, di sini kecewa dengan tindakan tuai rumah yang membenarkan syarikat balak beroperasi di tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) tanpa persetujuan mereka.

Isu ini dipanaskan ketika belum lama tular di media sosial Sungai Katibas dan Sungai Rajang dicemari longgokan logjam didakwa berpunca daripada aktiviti pembalakan yang tidak terkawal.

Berdasarkan hantaran pengguna media sosial dengan nama Endong Empuau, perkara itu diketahuinya ketika pertemuan dengan wakil syarikat tersebut pada 13 Mac, selepas sungai mereka keruh akibat pembalakan di tanah NCR berhampiran.

“Saya sendiri melihat senarai tandatangan beberapa tuai rumah yang memberikan ‘lampu hijau’ kepada syarikat balak memperbaharui lesen balak di tanah NCR mereka berhampiran kawasan kami.

“Surat sokongan (tuai rumah) itu dikepilkan bersama surat permohonan lesen (OT) syarikat berkenaan kepada Jabatan Perhutanan Sarawak bertarikh Februari 2024 dan peta NCR aktiviti pembalakan,” katanya dalam hantaran di Facebook baru-baru ini.

Endong turut memuat naik sepucuk surat permohonan sokongan untuk memperbaharui lesen pembalakan di tanah NCR Sungai Matop, Merurun dekat sini.

Beliau mempersoal kewajaran tindakan tuai rumah kawasan tersebut yang membenarkan aktiviti pembalakan itu sehingga penduduk rumah panjang yang lain turut mendapat tempias, terjejas air sungai keruh.

“Saya juga dimaklumkan oleh syarikat balak berkenaan mereka mendapat kebenaran melakukan aktiviti pembalakan di kawasan tanah NCR kami.

“Walaupun mereka (syarikat pembalakan) mendapat surat kebenaran ia tidak bermakna boleh melakukan apa sahaja sehingga mencemarkan persekitaran dan menjejaskan kehidupan penduduk di situ.

Dalam hantaran yang sama, beliau berkata syarikat pembalakan yang bertanggungjawab menyebabkan air sungai keruh bersetuju untuk membiayai kos upacara adat dan membayar pampasan untuk setiap pintu enam rumah panjang yang terjejas.

Menurutnya, walaupun pampasan sudah dibayar dan mereka diberikan kebenaran beroperasi, namun syarikat tersebut wajar menghormati hak kuasa adat asal termasuk NCR.

“Tujuan saya berkongsi perkara ini ialah supaya tuai rumah, penghulu, pemanca dan ketua masyarakat yang lain mengambil iktibar dan tahu hak mereka dalam melindungi NCR.

“Jangan sudah terhantuk baru terngadah, jangan nanti kita menyalahkan orang lain jika ada kesusahan.

“Selaku pemilik NCR di kawasan yang sama, tuai rumah tidak boleh membelakangkan penduduk rumah panjang yang lain.

“Surat sokongan kepada syarikat balak atau ladang hanya boleh ditandatangani jika mendapat sokongan daripada 80 peratus penduduk,” katanya.

Endong mendakwa, tindakan menandatangani surat sokongan tanpa persetujuan menunjukkan tuai rumah tersebut menyalahgunakan kuasa dan wajar dikenakan hukuman undang-undang pecah amanah.

“Generasi baharu di rumah panjang kini bukan lagi seperti era 80-an dan 90-an, ramai sudah semakin pandai dan bijak tahu apa yang salah dan betul terutama berkaitan hak dalam NCR,”katanya.

Sementara itu di ruangan komen, netizen turut mengakui terdapat ketua masyarakat yang bertindak ‘senyap-senyap’ dalam memberikan kebenaran operasi pembalakan di kawasan NCR penduduk rumah panjang.

“Inilah masalah ketua kaum dan ketua masyarakat yang selalu membuat keputusan tanpa merujuk kepada penduduk rumah panjang. 

“Situasi inilah menyebabkan perkelahian semasa sendiri. Mereka menggunakan kuasa sendiri tanpa bertanya,” kata pengguna media sosial dikenali sebagai Apai Atira Sumping.

“Ba part tu selalu penghulu enggau Tuai Rumah berambi ulih berandau enggau tauke laban meda mata duit,” kata seorang netizen.

“Terima kasih kerana berkongsi dan menghuraikan isu ini dengan lengkap, semoga menjadi iktibar dan memberi manfaat kepada kita semua,” kata Ambai Kumang.

Next Post Previous Post